Pada 28 Ramadan 1440 bersamaan 3 Jun 2019, sebanyak 90 buah keluarga yang terdiri daripada warga emas dan keluarga yang memerlukan bantuan dari beberapa buah kampung di Daerah Tutong dan Belait menerima sumbangan kewangan dan makanan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sempena bulan Ramadan.

Selaras dengan dasar penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam memberikan pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam yang memerlukan bantuan, sumbangan ini bertujuan bagi membantu mereka dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna dan memberikan keceriaan kepada mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada 41 buah keluarga di Daerah Tutong disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi Bin Haji Gafar, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.

Sementara sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada 49 buah keluarga di Daerah Belait disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan di Masjid Al-Mashor, Kampong Sungai Mau, Daerah Belait.