Pada 12 Muharram 1442 bersamaan 31 Ogos 2020, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Penandatanganan  Perjanjian Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian tahun 2020/2021 bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan, Bandar Seri Begawan. 

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis Penandatanganan Perjanjian bagi penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah 2020 / 2021 yang telah berlangsung di Istana Nurul Iman.

Seramai tiga orang penuntut yang berjaya menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2020 / 2021 dan seorang penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah pada sesi pengajian 2016 / 2017 yang akan meninggikan tahap pengajian hadir bagi menandatangai perjanjian di majlis ini.  Mereka ialah:

  • Awangku Muhammad Asyraff Haziq Iman bin Pengiran Asmali, penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2020 / 2021 yang akan meneruskan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Elektrikal dan Eletronik (MEng Electronic and Electrical Engineering) di University College London, United Kingdom.
  • Dayang Siti Aisyah binti Salim, penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2020 / 2021 yang akan meneruskan pengajian dalam jurusan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat  di Ma’had Qiraat, Al-Azhar, Shoubra, Mesir.
  • Dayang A’isyah binti Muhamad Yusop, penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2020 / 2021 yang akan meneruskan pengajian dalam jurusan Syariah Wa Qanun  di Universiti Al-Azhar, Mesir.

dan

  • Dayang Kadrina Abdul Latif binti Abdullah, penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2016 / 2017 dalam jurusan BSc Biomedical Science di Imperial College London, United Kingdom dan telah menamatkan pengajian pada tahun 2019. Dayang Kadrina akan meninggikan tahap pengajian ke peringkat Sarjana dalam kursus Msc Clinical Embroylogy di Green Templeton College, University of Oxford, United Kingdom.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji  Sallehuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid. 

Acara majlis diteruskan dengan menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa bagi keempat orang penerima biasiswa yang ditemani bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat.  Manakala bagi pihak Yayasan pula, penandatanganan dilakukan oleh Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama dengan Yang Mulia Awang Haji Puasa bin Haji Jumat, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis pada petang ini diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi para penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan pengajian masing-masing.

Turut hadir di majlis ini ialah sebahagian Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Adalah menjadi harapan dengan adanya biasiswa seumpama ini akan dapat melahirkan pemimpin yang cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara serta menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, raja dan negara.