Majlis Peletakan Batu Asas Masjid Jubli Intan Sempena Memperingati 60-Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Peletakan Batu Asas Masjid Jubli Intan di tapak pembinaan Masjid Jubli Intan, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Mata-Mata, Kawasan 3, Mukim Gadong B, Daerah Brunei dan Muara yang diadakan pada 23 Zulkaedah 1447 bersamaan 11 Mei 2026.
Turut berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Paduka-Paduka Anaknda Baginda iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; serta Paduka-Paduka Adinda Baginda iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Penasihat-Penasihat Bersama, dan Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Pembinaan Masjid Jubli Intan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.
Majlis seterusnya diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Md Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ll selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Pembinaan Masjid Jubli Intan.
Aturcara majlis diteruskan dengan laungan azan dan bacaan zikir oleh Pegawai-Pegawai Masjid.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya dijunjung bagi penyempurnaan peletakan batu asas Masjid Jubli Intan dengan diiringi laungan tiga kali takbir, dan bacaan zikir oleh Pegawi-Pegawai Masjid.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menyaksikan tayangan klip video mengenai projek pembinaan, pameran dan mendengar sembah taklimat mengenai konsep dan reka bentuk Masjid Jubli Intan yang disembahkan oleh Bahagian Arkitek, Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.
Sebelum mengakhiri majlis, Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Bangunan masjid baharu tersebut akan dikenali dengan nama Masjid Jubli Intan dan menjadi sebuah mercu tanda ristaan sepanjang zaman dan kegemilangan 60 tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas takhta yang berteraskan keimanan dan ketaqwaan kepada generasi masa ini dan masa hadapan.
Masjid Jubli Intan akan diikhtiraf sebagai masjid pertama di Negara Brunei Darussalam yang mempunyai pensijilan Bangunan Hijau di mana pembangunan rohani dan kelestarian alam sekitar dicantumkan. Masjid tersebut yang berkapasiti seramai 4,246 orang Jemaah, dilengkapi dengan berbagai kemudahan termasuk bilik kuliah, bilik perpustakaan, bilik pengurusan jenazah, tandas serta kawasan letak kereta bagi keselesaan dan kemudahan orang ramai termasuk Orang Kelainan Upaya bagi para penduduk STKRJ Kampung Mata-Mata, Mukim Gadong B dan juga masyarakat sekitarnya.
Kos pembiayaan pembinaan masjid ini dibiayai melalui Rancangan Kemajuan Negara dan sebahagian lagi melalui kutipan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, sumbangan orang ramai dan sektor swasta. Masjid ini Insya Allah dijangka siap pada 31 Julai 2027.
Konsep reka bentuk yang dipilih merupakan cadangan Arkitek Awang Haji Azmi bin Awang Haji Tahir, Ketua Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan dibantu oleh Awang Abdul Azeem bin Abdul Rahman, seorang arkitek tempatan di Kementerian Hal Ehwal Ugama.