Majlis Doa Kesyukuran Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik
Pada 15 Muharam 1448 Hijrah bersamaan 1 Julai 2026 Masihi, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Yang Ke-43 Tahun yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke majlis ini.
Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh, Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Atur cara majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Yasin dan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-43 Tahun yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Awang Murat. Majlis diteruskan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah.
Di majlis ini, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan memotong kek Ulang Tahun Puja Usia serta menerima pesambah daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berupa sebuah rehal eksklusif yang direka khas dengan gabungan motif seni Islamik, dihiasi dengan logo Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta nama ‘Abdul Malik dalam seni khat Thuluth yang dihasilkan oleh Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Pesambah tersebut turut dilengkapi dengan sebuah Mushaf Al-Quran berserta terjemahan, buku Yasin dan penunjuk Al-Quran, sekali gus melambangkan penghormatan terhadap Al-Quran serta penghargaan terhadap warisan seni dan kraf Islam.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah diputerakan pada 19 Ramadan 1403 Hijrah bersamaan 30 Jun 1983 Masihi. Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik telah dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 18 Jamadilakhir 1434 bersamaan 1 Mac 2013. Menerajui pucuk pimpinan tertinggi di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik sangat prihatin terhadap pengurusan dan perkembangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Duli Yang Teramat Mulia juga sering berkenan mempengerusikan mesyuarat Jemaah Tadbir, meninjau dan melibatkan diri dalam apa jua projek dan aktiviti yang diusahakan dan dianjurkan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Semasa majlis ini juga, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang berjumlah keseluruhan B$74,000.00.
Sumbangan pertama disampaikan kepada Tabung Amal Bantuan Pesakit (TABP), Kementerian Kesihatan, yang diterima oleh Yang Mulia Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Perancangan), Kementerian Kesihatan. Sumbangan tersebut adalah berupa geran tahunan bermula tahun 2026 berjumlah B$50,000.00 yang bertujuan menyokong usaha TABP dalam membantu pesakit dari golongan yang memerlukan untuk mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan dan bantuan kebajikan berkaitan, termasuk penyediaan peralatan perubatan, bahan guna habis perubatan, susu formula khas serta keperluan asas yang lain mengikut penilaian kes.
Bantuan ini turut melengkapi Skim Bantuan Perubatan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebagai saluran tambahan bagi membantu pesakit dari golongan yang memerlukan, sekali gus memperkukuh usaha bersama dalam memastikan golongan yang memerlukan terus menerima bantuan kesihatan dan kebajikan yang sewajarnya.
Seterusnya, sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berjumlah B$24,000.00 disampaikan kepada An-Nur Harapan, yang diterima oleh Yang Mulia Dayang Melline binti Haji Jaini, Pengurus Am, An-Nur Harapan. An-Nur Harapan merupakan sebuah organisasi yang menyediakan perkhidmatan pendidikan, intervensi dan pembangunan kemahiran kepada kanak-kanak serta individu berkeperluan khas bagi membantu perkembangan pembelajaran, potensi diri dan kesejahteraan mereka.
Sumbangan tersebut adalah bagi menyokong pelaksanaan Program UNIKLEARN, yang diperkenalkan pada tahun 2018 bagi menyediakan program pembelajaran, pembangunan kendiri serta latihan kemahiran kepada golongan belia neurodivergen di negara ini sebagai persediaan ke arah peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih berdikari. Inisiatif ini sejajar dengan komitmen Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam memperkasakan pembangunan modal insan secara inklusif melalui sokongan kepada organisasi yang menyediakan perkhidmatan pendidikan dan kebajikan kepada golongan berkeperluan khas.
Hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Jemaah Tadbir Yayasan dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; para jemputan khas, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.