Bersempena bulan Ramadan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan majlis bertahlil pada 8 Ramadan 1447 bersamaan 26 Februari 2026 bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim bertempat di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.  Majlis ini adalah salah satu daripada aktiviti tahunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di bulan Ramadan.

Berangkat di majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bacaan yasin dan tahlil diketuai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir.

Juga hadir di majlis ini ialah Ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, ahli-ahli Alumni Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan penduduk Kampong Bolkiah ‘A’ dan Kampong Bolkiah ‘B’.