Pada 2 Safar 1442 bersamaan 20 September 2020, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengendalikan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah iaitu khusus bagi para pelajar yang mengikuti kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong yang akan menduduki peperiksaan awam pada akhir tahun ini. 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Kelas tuisyen PIP Yayasan menumpukan pembelajaran mata pelajaran teras bagi memastikan para pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan supaya mereka mendapat peluang terbaik dalam meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.  Selain itu, mata pelajaran Al-Quran dan amali ugama juga diserapkan dalam program PIP ini yang dipanggil dengan Projek Tahsin.

Majlis pada pagi ini dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat, bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Kesyukuran yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Mohd Afif bin Dato Seri Setia Haji Japar, Pegawai Hal Ehwal Masjid selaku Ketua Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir di majlis ini ialah Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pada tahun ini, seramai 325 orang pelajar yang mengikuti projek kelas tuisyen PIP di lapan buah pusat di seluruh negara akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini iaitu 207 orang pelajar akan menduduki Penilaian Sekolah Rendah (Tahun 6); 60 orang pelajar akan menduduki Peperiksaan BC GCE O Level (Tahun 11); dan 58 orang pelajar akan menduduki Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama.