Bengkel Keusahawanan, Program Asas Bakarih diadakan selama empat hari dan dibahagikan kepada dua bengkel iaitu Bengkel ‘Bright Ideas’ pada 9 dan 10 September 2019, dan diikuti dengan Bengkel ‘Business Plan Series’ pada 12 dan 13 September 2019 bertempat di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bengkel yang diusahakan dengan kerjasama LiveWIRE Brunei ini telah disertai oleh seramai 27 orang peserta yang terdiri daripada calon-calon penerima bantuan modal keusahawanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Bengkel Keusahawanan, Program Asas Bakarih adalah merupakan fasa terakhir bagi peserta-peserta berkenaan sebelum mereka diserapkan ke dalam Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk diberikan bantuan modal perniagaan bagi membolehkan mereka menjalankan dan memajukan usaha perniagaan sebagaimana yang mereka hasratkan dan seterusnya diiktiraf menjadi Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pada 13 Muharam 1441 bersamaan 13 September 2019, bengkel ini ditutup dengan majlis penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada para peserta bengkel yang telah disempurnakan oleh Awang Haji Musthapa bin Haji Matahir, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Turut hadir adalah pegawai-pegawai daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan LiveWIRE Brunei.

Bengkel seumpama ini bertujuan untuk memastikan para penerima bantuan modal keusahawanan yang disediakan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah benar-benar mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam bidang perniagaan yang akan mereka ceburi. Adalah diharapkan melalui jalinan kerjasama antara LiveWIRE Brunei dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini, LiveWIRE Brunei akan terus menyokong Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah merealisasikan hasratnya untuk melahirkan usahawan yang mahu bakarih dan sanggup bajarih untuk balurih dengan satu tujuan iaitu mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.