Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Santuni Mangsa Kebakaran
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik, termasuk mereka yang terlibat dalam musibah seperti kebakaran rumah. Bantuan yang disalurkan bertujuan untuk meringankan beban mangsa dan membantu mereka meneruskan kehidupan seharian.
Pada 8 Muharam 1447 bersamaan 4 Julai 2025, satu majlis penyampaian sumbangan kewangan telah diadakan di Ibu Pejabat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Perdana Menteri. Sumbangan berjumlah BND6,550.00 telah disampaikan kepada keluarga Awang Amansah bin Mohd Zaini, yang terjejas akibat kejadian kebakaran di Rancangan Perumahan Negara Kampong Panaga Kawasan C.
Penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah Urusan, pegawai serta kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.