Pada 4 Jamadilakhir 1443 bersamaan 7 Januari 2022, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan dalam beberapa bentuk bantuan yang keseluruhannya berjumlah BND39,700.00 seperti berikut:

1. Sumbangan tajaan kepada PESEBAR

Yayasan turut mengambil peranan dalam usaha menanam dan memupuk kecemerlangan dalam bidang sejarah, kebudayaan dan kesusasteraan di kalangan rakyat.  Ke arah usaha tersebut, Yayasan memberikan sumbangan tajaan kewangan berjumlah BND15,000.00 kepada Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) untuk menerbitkan “Buku Kesultanan Brunei: Dari Pelbagai Perspektif” iaitu Kumpulan Artikel sempena Sambutan Jubli Intan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sumbangan tersebut diterima oleh Yang Mulia Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Yang Di-Pertua PESEBAR.

2.  Sumbangan tajaan kepada Badan Sukarelawan DA’IE

Menyedari pentingnya peranan para belia dalam membangun negara, Yayasan sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha meningkatkan peranan dan penglibatan para belia dalam program kemahiran dan pembangunan masyarakat.  Bagi tujuan tersebut, Yayasan memberikan tajaan kewangan berjumlah BND14,700.00 kepada Badan Sukarelawan Belia Da’ie di bawah naungan Urus setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah bagi mengendalikan Program Pemantapan Da’ie.

Sumbangan tersebut diterima oleh Yang Mulia Siti Hurul-Ain Diyana binti Haji Abdul Majid @ Vieana, Timbalan Pengerusi Belia Da’ie.

3.  Sumbangan kewangan kepada Mangsa Rumah Roboh

Yayasan dari semasa ke semasa memberikan pemedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran rumah dan rumah roboh.  Bantuan ini dilaksanakan dengan segera bagi meringankan beban mangsa yang terlibat untuk meneruskan kehidupan harian.

Yayasan memberikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah BND10,000.00 kepada dua buah keluarga yang terlibat dalam kejadian rumah roboh di Kampong Pandai Besi ‘A’ pada 25 Disember 2021 lalu.

Kesemua sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.