Berikutan dengan kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampong Sungai Besar (15 Ogos 2019) yang mengakibatkan kematian seorang warga emas dan 15 penghuni rumah kehilangan harta benda dan tempat tinggal, Yayasan tampil dengan segera menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat.

Pada 15 Zulhijjah 1440 bersamaan 16 Ogos 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan dan makanan asasi kepada ahli keluarga yang terlibat.

Sumbangan dalam bentuk makanan asasi dan perbelanjaan pengurusan jenazah disampaikan kepada ahli keluarga yang terlibat telah disampaikan oleh Yang Mulia Dr Norimtihan binti Haji Abdul Razak, Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Ibu Pejabat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Perdana Menteri, Bandar Seri Begawan.

Sementara itu sumbangan kewangan kepada 15 orang ahli keluarga yang terlibat telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Musthapa bin Haji Matahir, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di rumah salah seorang ahli keluarga mangsa di Jalan Tanjung Selasih RPN Mengkubau, Mentiri.

Sumbangan ini dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.