Pada 9 Zulkaedah 1447 bersamaan 27 April 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Menandatangani Kontrak Perjanjian Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Skim Bantuan Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga Majlis Penyampaian Sumbangan Kewangan bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan. 

Majlis Menandatangani Kontrak Perjanjian Pembinaan Rumah Bantuan di Bawah Skim Bantuan Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Salah satu tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam bidang kebajikan adalah untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan skim bantuan kepada golongan yang memerlukan, termasuk skim bantuan perumahan.

Tempat kediaman merupakan keperluan asasi dalam kehidupan. Penyediaan bantuan perumahan kepada golongan yang memerlukan adalah selaras dengan tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam bidang kebajikan. Bantuan ini juga sejajar dengan salah satu Matlamat Strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, iaitu Mengimbangi Pemedulian Keperluan Asasi.

Projek bantuan perumahan di bawah Skim Bantuan Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan dan keadaan tempat tinggal mereka yang daif serta tidak selamat untuk didiami.  Bantuan ini juga dihasratkan bagi memberikan mereka peluang untuk memperbaiki taraf hidup keluarga dalam semua aspek kehidupan.

Hari ini Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Menandatangani Kontrak Perjanjian Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Skim Bantuan Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Bagi kontrak perjanjian ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan membina sebanyak lima buah rumah bantuan, iaitu sebanyak empat buah rumah di Daerah Brunei Muara dan satu buah rumah di Daerah Belait yang dikontrakkan kepada Syarikat Impian Reka Bina Sdn Bhd. 

Rumah bantuan tersebut dibina dalam bentuk banglo yang mempunyai tiga buah bilik tidur, sebuah dapur, sebuah bilik tamu dan sebuah tandas. Projek pembinaan rumah bantuan ini akan bermula pada bulan Mei 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Oktober 2026.  Konsep dan reka bentuk rumah bantuan ini menampilkan ciri-ciri moden dan selaras dengan perkembangan teknologi semasa dalam pembangunan rumah kos rendah, di samping membolehkan pembinaannya disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan penandatanganan kontrak perjanjian antara Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan syarikat yang dilantik iaitu Syarikat Impian Reka Bina Sdn Bhd. 

Menandatangani bagi pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Penandatangan Kontrak Perjanjian disaksikan oleh tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Dari mula projek bantuan perumahan di bawah Skim Bantuan Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dilaksanakan pada tahun 1996 sehingga kini, sebanyak 186 buah rumah telah dibina di seluruh negara bagi memberikan harapan baharu kepada 186 buah keluarga untuk meneruskan kehidupan harian mereka dalam persekitaran rumah yang selesa dan selamat.

Turut hadir di majlis ini ialah pegawai-pegawai Kanan di jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis Penyampaian Sumbangan Kewangan kepada Mangsa Bencana Alam

Selaras dengan hasrat murni penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik, termasuk mereka yang terjejas akibat musibah seperti kebakaran rumah dan rumah roboh.

Semasa majlis ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan berjumlah keseluruhan B$10,950.00 kepada tiga buah keluarga yang terlibat dalam bencana alam di beberapa buah kampung di Daerah Brunei dan Muara.

Sumbangan yang disampaikan ini merupakan bantuan segera yang dihasratkan dapat meringankan beban mangsa serta membantu mereka meneruskan kehidupan seharian.