Pada 26 Syaaban 1443 bersamaan 29 Mac 2022, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan sumbangan kewangan kepada sebahagian masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara. Majlis diadakan di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Dalam usaha menyokong peranan masjid untuk meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan bantuan dan sumbangan kepada sebahagian masjid, surau dan balai-ibadat di seluruh negara bagi mengadakan majlis dan aktiviti takmir masjid, surau dan balai-ibadat.

Hari ini sebanyak 72 buah masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara menerima sumbangan yang keseluruhannya berjumlah BND80,100.00 bagi mengadakan majlis dan aktiviti takmir khususnya bagi sepanjang bulan Ramadan 1443 Hijrah yang akan datang.  

Sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada imam-imam dan pegawai-pegawai masjid berkenaan.

Hadir sama di Majlis ini ialah Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir di majlis ini ialah Penolong-Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.