Pada 15 Ramadan 1442 bersamaan 28 April 2021, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan dan makanan berjumlah keseluruhannya BND155,750.00 kepada sebanyak 150 buah keluarga yang memerlukan bantuan di seluruh negara melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sempena bulan Ramadan.  Pemberian sumbangan ini juga sejajar dengan matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mengimbangi pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang memerlukan.

Sumbangan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertujuan bagi membantu meringankan keperluan perbelanjaan dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna dan memberikan keceriaan kepada mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.  

Penyampaian sumbangan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada 150 buah keluarga di seluruh negara dilakukan serentak di keempat-empat Daerah.

Penyampaian sumbangan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Daerah Brunei-Muara diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Menteri Pembangunan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Turut serta ialah Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Manakala penyampaian di Daerah-Daerah lain disampaikan oleh Penolong-Penolong Pengarah Urusan dan Pegawai-Pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.