Bengkel Keusahawanan, Program Asas Bakarih diadakan selama empat hari dan dibahagikan kepada dua bengkel iaitu Bengkel ‘Bright Ideas’ pada 5 dan 6 Disember 2019, dan diikuti dengan Bengkel ‘Business Plan Series’ pada 19 dan 20 Disember 2019 bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bengkel yang diusahakan dengan kerjasama LiveWIRE Brunei ini telah disertai oleh seramai 34 orang peserta yang terdiri daripada calon-calon penerima bantuan modal keusahawanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berserta ahli keluarga mereka. Bengkel Keusahawanan, Program Asas Bakarih adalah merupakan fasa terakhir bagi peserta-peserta berkenaan sebelum mereka diserapkan ke dalam Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk diberikan bantuan modal perniagaan bagi membolehkan mereka menjalankan dan memajukan usaha perniagaan sebagaimana yang mereka hasratkan dan seterusnya diiktiraf menjadi Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pada 23 Rabiulakhir 1441 bersamaan 20 Disember 2019, bengkel ini ditutup dengan majlis penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada para peserta bengkel yang telah disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Haji Musthapa bin Haji Matahir, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Turut hadir adalah pegawai-pegawai daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan LiveWIRE Brunei.

Bengkel seumpama ini bertujuan untuk memastikan para penerima bantuan modal keusahawanan yang disediakan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah benar-benar mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam bidang perniagaan yang akan mereka ceburi. Adalah diharapkan melalui jalinan kerjasama antara LiveWIRE Brunei dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini, LiveWIRE Brunei akan terus menyokong Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah merealisasikan hasratnya untuk melahirkan usahawan yang mahu bakarih dan sanggup bajarih untuk balurih dengan satu tujuan iaitu mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.