Program Amal Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sempena Bulan Ramadan
Selaras dengan dasar penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam memberikan pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan dan makanan kepada keluarga yang memerlukan bantuan di seluruh negara melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sempena bulan Ramadan. Pemberian sumbangan ini juga sejajar dengan matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mengimbangi pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang memerlukan.
Penerima-penerima sumbangan terdiri daripada kalangan para penerima bantuan kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; para penerima bantuan melalui Jabatan-Jabatan Daerah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; dan para penerima bantuan melalui Majlis Ugama Islam dan Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Sumbangan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertujuan bagi membantu meringankan keperluan perbelanjaan dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna dan memberikan keceriaan kepada mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
Jumlah penerima bantuan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sempena bulan Ramadan adalah sebanyak 261 buah keluarga di seluruh negara: Daerah Brunei dan Muara (117 buah keluarga); Daerah Belait (46 buah keluarga); Daerah Tutong (54 buah keluarga); dan Daerah Temburong (44 buah keluarga).
Dengan mengambil kira situasi semasa berkaitan jangkitan wabak Covid-19 dan bagi memastikan keselamatan semua pihak, sumbangan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah diserahkan secara terus ke rumah-rumah penerima dengan berperingkat-peringkat mulai 22 Ramadan 1441 bersamaan 16 Mei 2020 dengan kerjasama beberapa agensi Kerajaan yang berkaitan.