Pada 12 Jamadilakhir 1444 bersamaan 5 Januari 2023, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kepada Tabung Bencana Kemanusiaan Banjir Pakistan; sumbangan kepada enam buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran dan bencana alam; dan sumbangan bantuan membaikpulih rumah kepada dua buah keluarga yang keseluruhannya berjumlah BND126,900.00.

Berikutan daripada kejadian bencana banjir besar yang melanda Pakistan pada bulan Ogos 2022, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022, dan seterusnya Penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022. Penubuhan tabung kemanusiaan tersebut bertujuan untuk mengumpulkan derma berbentuk kewangan sahaja daripada semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Pakistan yang dilanda banjir besar.

Atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan dalam membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh mangsa banjir, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah turut sama menyokong penubuhan Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022 dan menghulurkan sumbangan berjumlah BND50,000.00. Sumbangan diterima oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tabung Bantuan Kemanusiaan.

Yayasan dari semasa ke semasa memberikan pemedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah seperti kebakaran rumah dan rumah roboh.  Bantuan ini dilaksanakan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah BND29,900.00 kepada enam buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan rumah roboh di beberapa buah kampung di Negara Brunei Darussalam pada akhir tahun 2022.  Ketua keluarga yang menerima sumbangan ini ialah Dayang Timbang @ Siti Nurul ‘Asyiqin binti Haji Timbul, Kampong Maraburung; Awang Haji Saban bin Haji Omar, Perpindahan Bukit Beruang; Dayang Kartika binti Suhaimi, Kampong Bakut Berumput; Pengiran Norsiti Elvy Sunarti binti Pengiran Haji Terapin, Kampong Lurong Dalam; Dayang Hajah Amit binti Abbas, Kampong Burong Pinggai Ayer; dan Dayang Rasiah binti Salim, Kampong Lurong Sikuna.

Antara tujuan penubuhan Yayasan dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat ialah memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan termasuk tempat tinggal yang sempurna dan selamat.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan bantuan yang berupa sumbangan kewangan yang keseluruhannya berjumlah BND47,000.00 bagi tujuan membaikpulih rumah dua buah keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan.  Ketua keluarga yang menerima sumbangan ini ialah Dayang Hajah Pasar @ Pasah Binti Amit, Kampong Junjungan; dan Dayang Hajah Amit Binti Ibrahim, Kampong Bakut Pg Siraja Muda ‘B’.

Kesemua sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatanselaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.