Penyampaian Sumbangan Kepada Sebahagian Masjid / Surau / Balai Ibadat
Pada 21 Syaaban 1446 bersamaan 20 Februari 2025, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan sumbangan kewangan kepada sebahagian masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara. Majlis diadakan di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Dalam usaha menyokong peranan masjid untuk meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan bantuan dan sumbangan kepada sebahagian masjid, surau dan balai-ibadat di seluruh negara bagi mengadakan majlis dan aktiviti takmir masjid, surau dan balai-ibadat.
Hari ini sebanyak 71 buah masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara menerima sumbangan yang keseluruhannya berjumlah BND76,700.00 bagi mengadakan majlis dan aktiviti takmir khususnya bagi sepanjang bulan Ramadan 1446 Hijrah yang akan datang.
Bagi masjid, surau dan balai ibadah di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait, sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Bagi Daerah Tutong dan Daerah Temburong pula, sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada imam-imam dan pegawai-pegawai masjid berkenaan.
Hadir sama di majlis ini ialah Yang Mulia Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir di majlis ini ialah Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.