Demi mencapai salah satu matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Mendukung Pencapaian Taraf Sara Diri, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah turut mendukung usaha kerajaan membantu meningkatkan tahap sara diri golongan yang memerlukan bantuan melalui program keusahawanan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan. Skim Pembiayaan Kebajikan merupakan bantuan pengupayaan diri khusus bagi golongan sasar yang memerlukan iaitu berupa pemberian bantuan modal bagi menjalankan perusahaan berserta beberapa  program dan kursus kemahiran yang bersesuaian.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menganjurkan Kursus Latihan Khas Beriktiraf yang bertujuan membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para usahawan mengenai tatacara terbaik dalam perniagaan dan teknik-teknik terkini untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti produk masing-masig.

Penganjuran bengkel ini telah mendapat sokongan padu daripada rakan strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Pusat Belia, Jabatan Belia dan Sukan; Pusat Pembangunan Belia; dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. 

Kursus ini telah berjalan selama seminggu bermula 23 hingga 30 September 2024 yang diadakan di Dewan Pusat Belia dan juga Pusat Pembangunan Belia.  Seramai 30 orang peserta terdiri daripada Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyertai kursus berkenaan.  Selain itu, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga menjemput peserta program keusahawanan daripada JAPEM mengikuti kursus selama lapan hari ini.

Pada 26 Rabiulawal 1446 bersamaan 30 September 2024, kursus ini ditutup dengan majlis penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada seramai 30 orang peserta kursus yang telah disempurnakan oleh Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.