Sebagai sokongan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada Kementerian Pendidikan bagi menyokong pembelajaran dalam talian serta membantu para pelajar yang memerlukannya semasa pandemik COVID-19 yang melanda di negara ini, Yayasan menyampaikan sumbangan sebanyak 100 unit komputer riba (laptop) serta 100 unit pen drive.

Penyampaian sumbangan ini adalah bertepatan dengan matlamat strategik Yayasan dalam mendokong pencapaian pendidikan yang berkualiti dan saksama bagi semua lapisan masyarakat.  Sumbangan tersebut dihasratkan bagi memeduli kebajikan dan hal-ehwal pendidikan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan bagi meningkatkan motivasi mereka untuk meraih kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Sumbangan daripada Yayasan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diterima oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.