Pada 23 Jamadilawal 1447 bersamaan 14 November 2025, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Pelancaran Hari Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2025 (HBY 2025) bertempat di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.  Hadir selaku tetamu kehormat dan melancarkan HBY 2025 ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hari Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (HBY) merupakan platform perniagaan bagi mengenalkan produk-produk yang dihasilkan oleh para Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu para pengusaha yang dilahirkan melalui program bantuan modal perusahaan atau perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Penganjuran HBY adalah merupakan inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi menyediakan ruang strategik sebagai sokongan kepada para pengusaha tempatan khususnya Usahawan Bakarih Yayasan (UBY) dalam mengukuhkan portfolio perniagaan dan meluaskan rangkaian pemasaran produk mereka.  Seramai 21 orang Usahawan Bakarih Yayasan (UBY) yang mengusahakan pelbagai perusahaan menyertai aktiviti jualan sepanjang HBY 2025 berlansung. 

Tahun ini merupakan kali keempat HBY dianjurkan.  HBY 2025 akan berlangsung selama dua minggu iaitu bermula 14 November hingga 30 Disember 2025, dari pukul 4.00 petang hingga 9.00 malam, di Khemah Jualan HBY 2025, Open Plaza, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Selain daripada aktiviti jualan, pelbagai aktiviti menarik juga disediakan bagi para pengunjung seperti Fun Fair, Kuiz Kenali Negara Kitani (KNK), Fitness Challenge, Face Painting, Henna Painting, Peraduan Mewarna, Kempen Derma Darah, Matcha & Handicraft Workshop, Persembahan Muzik, Pet & Reptile Show, serta aktiviti tradisional ‘Bamukun’.

Sebahagian daripada pendapatan acara fun fair dan bengkel akan disumbangkan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA PMMAB).

Orang ramai dialu-alukan hadir dan memeriahkan Hari Bakarih Yayasan bagi menyokong pengusaha-pengusaha tempatan daripada kalangan golongan sasar Yayasan yang berpaksikan semangat Mau Bakarih, Sanggup Bajarih Untuk Balurih.