Pada 26 Jamadilakhir 1441 bersamaan 20 Februari 2020, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Bagi Pembahagian Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1441H / 2020M di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Mesyuarat dihadiri oleh wakil-wakil daripada 13 buah Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan yang terlibat dalam membantu Yayasan mengendalikan pembahagian buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1441H/2020M iaitu wakil-wakil daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei , Jabatan-Jabatan Daerah, Jabatan Hal-Ehwal Masjid serta pegawai-pegawai Yayasan.

Antara agenda yang dibincangkan adalah mengenai proses pengendalian dan pengagihan buah kurma kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1441H/2020M dan pengenalan bagi penggunaan Kurma App yang baru diperkenalkan pada tahun ini dan seterusnya melantik Urus Setia dan Ahli-ahli Jawatankuasa Penyelaras Pembahagian Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi tahun 1441H/2020M.

Bagi menambahbaikkan proses pengagihan buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi tahun 1441H/2020M, satu inisiatif baharu akan diperkenalkan iaitu melalui aplikasi mudah alih dan web “Kurma App”. Penggunaan aplikasi ini adalah penambahbaik proses pendaftaran dan pengagihan buah kurma kepada rakyat dan penduduk yang beragama Islam yang tinggal di Negara Brunei Darussalam.  Inisiatif ini dibuat adalah untuk memastikan semua rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini menerima kurma Kurnia Peribadi Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan.  Maklumat mengenai penggunaan aplikasi “Kurma App” akan dimaklumkan kemudian.

Di samping itu, seperti tahun-tahun sebelumnya Yayasan juga menyediakan borang khas yang diedarkan melalui Ketua-Ketua Kampung di seluruh negara untuk diisikan oleh para penerima iaitu bagi mereka yang tidak mendaftar melalaui aplikasi atas talian (online)  “Kurma App”. 

Mengenai dengan proses pengagihan buah kurma pula, seperti di tahun-tahun yang sudah, buah kurma akan dihantar terus ke pusat pengagihan buah kurma iaitu di keempat-empat jabatan daerah dan diagihkan melalui Ketua-Ketua Kampung masing-masing bagi orang-orang awam. Manakala pengagihan untuk anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan pasukan Polis Diraja Brunei akan diagihkan melalui jabatan dan unit masing-masing. Mulai tahun ini (1441H/2020M), proses pengagihan buah kurma akan dilaratkan ke pusat-pusat pengagihan buah kurma di setiap Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan di bawahnya termasuk Institusi Pengajian Tinggi dan juga sebahagian masjid-masjid. Senarai pusat pengagihan buah kurma bagi tahun 1441H/2020M adalah seperti di Lampiran A.

Bagi bulan Ramadan 1441H/2020M, sejumlah 158.4 ton metrik buah kurma jenis ‘Safawy’ yang dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi akan dibahagikan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam dengan tidak menghadkan umur dan taraf kerakyatan (setiap seorang Islam akan menerima satu kotak kecil yang mengandungi 300 gram).  Kapal yang membawa buah kurma dijangka bertolak dari Pelabuhan Jeddah, Arab Saudi pada hujung bulan Februari dan dijangka sampai di Pelabuhan Muara pada hujung bulan Mac 2020.

Pembahagian kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada tahun ini akan bermula dengan Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1441H/2020M.  Setelah Majlis Pelancaran, buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini seterusnya akan diagih-agihkan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam melalui pusat-pusat pembahagian yang telah didaftarkan.

Pengurusan pembahagian kurma kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini merupakan salah satu projek khas yang dilaksanakan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada setiap tahun.