Majlis Sembahyang Sunat Hajat Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Pada 15 Rabiulakhir 1448 bersamaan 27 September 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengendalikan Majlis Sembahyang Sunat Hajat iaitu khusus bagi para pelajar yang mengikuti kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi seluruh negara yang diadakan di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai, Daerah Tutong.
Pada tahun ini, seramai 264 orang pelajar yang mengikuti projek kelas tuisyen PIP di lapan buah pusat di seluruh negara akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini iaitu 167 orang pelajar akan menduduki Penilaian Sekolah Rendah (Tahun 6); 49 orang pelajar akan menduduki Peperiksaan BCGCE ‘O’ Level (Tahun 11); dan 48 orang pelajar akan menduduki SSSRU.
Kelas tuisyen PIP Yayasan menumpukan pembelajaran mata-mata pelajaran teras bagi memastikan para pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan supaya mereka mendapat peluang terbaik dalam meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Melalui projek tersebut para pelajar berpeluang mengikuti kelas tuisyen secara intensif dan percuma pada setiap hari Ahad di lapan buah pusat kelas tuisyen PIP di seluruh negara.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) selakuTimbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Turut hadir ialah oleh Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Timbalan Menteri Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis pada pagi ini dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat, bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Peperiksaan yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Abdul Khaliq Quysairi bin Ahmad, Imam Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam, Kampung Sengkarai. Majlis diteruskan dengan tazkirah bertajuk “Berjuang Hingga Garisan Akhir” yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Awang Muhammad Safwan bin Mohd Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program Intervensi Pendidikan (PIP) merupakan salah satu usaha Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam melaksanakan matlamat strategik bagi “Mendukung Pencapaian Pendidikan yang Berkualiti dan Saksama” khususnya membantu meningkatkan mutu pencapaian pendidikan pelajar dari golongan keluarga yang kurang berkemampuan.