Pada tahun ini, Program Perkembangan Sultan’s Scholar mengandungi dua komponen, iaitu Fasa Negara Brunei Darussalam dan Fasa Republik Singapura. Program Perkembangan pada kali ini melibatkan para penerima Anugerah Biasiswa Sultan’s Scholar yang sedang menuntut dan para alumni yang sedang berkhidmat baik di sektor kerajaan mahupun swasta.  Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2026 ini disertai oleh seramai 12 orang peserta yang terdiri daripada sembilan orang penuntut dan tiga orang alumni.

  • Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2026 Fasa Negara Brunei Darussalam

Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2026 Fasa Negara Brunei Darussalam telah dijalankan bermula pada hari Selasa, 28 Julai 2026 sehingga hari Sabtu, 1 Ogos 2026. Program ini melibatkan sesi taklimat dan penerangan oleh agensi-agensi Kerajaan bagi memberikan kefahaman kepada para peserta mengenai tugas dan peranan agensi-agensi berkenaan serta isu dan cabaran yang berkaitan.

Program Fasa Negara Brunei Darussalam kali ini telah dimulakan dengan Teambuilding Programme yang telah dijalankan selama dua (2) hari dan satu (1) malam di Freme Rainforest Lodge, Temburong. Para peserta juga melaksanakan aktiviti kemasyarakatan bersama Pusat SMARTER Brunei Darussalam.

  • Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2026 Fasa Republik Singapura

Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2026 Fasa Republik Singapura pula telah dilaksanakan dengan kerjasama daripada Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Negara Brunei Darussalam dan Civil Service College (CSC), Republik Singapura. Program telah berjalan selama lima hari bermula hari Isnin, 3 Ogos 2026 hingga hari Jumaat, 7 Ogos 2026.

Program di Republik Singapura bertujuan bagi memberikan peluang dan pendedahan kepada para peserta untuk mengetahui pendekatan Republik Singapura terhadap empat elemen utama iaitu pembuatan dasar (policy making), kepimpinan dan komunikasi (leadership and communication), pembangunan mampan (sustainable development) dan transformasi digital dan kecerdasan buatan (artificial intelligence and digital transformation).  Pelaksanaan program adalah melalui dialog, kursus, bengkel, lawatan dan aktiviti kemasyarkatan. Para peserta juga telah diaturkan untuk membuat lawatan Ibu Pejabat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), dan Masjid Muhajirin iaitu sebahagian daripada Islamic Hub, Republik Singapura. Aktiviti lawatan ini memberikan peluang kepada para peserta untuk memahami peranan MUIS disamping inisiatif yang dijalankan oleh pengurusan Masjid Muhajirin bagi manfaat penduduk Islam tempatan.

Semasa di Republik Singapura, para peserta telah berpeluang menghadiri networking lunch bersama pengurusan kanan Kementerian Luar Negeri, Republik Singapura yang turut dihadiri oleh Deputy Secretary (Management & Partnerships), Tuan Foo Kok Jwee dan Director-General (Southeast Asia I), Tuan Laurence Bay Siow Hon. Selain daripada itu, pihak CSC juga telah mengaturkan networking lunch bersama para penuntut President’s Scholars dan Public Service Commission Scholars, Republik Singapura.

Majlis penutup program di Republik Singapura telah diadakan pada hari Khamis, 6 Ogos 2026 dengan penyampaian sijil penyertaan yang disampaikan oleh Ms Lena Leong, Deputy Director, Civil Service College International, Republik Singapura.

MAJLIS PENUTUP PROGRAM PERKEMBANGAN SULTAN’S SCHOLARS 2026

Majlis Penutup Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2026 telah diadakan pada hari Sabtu, 24 Safar 1448 bersamaan 08 Ogos 2026 bertempat di Mutiara Ballroom, Radisson Hotel, Bandar Seri Begawan. Hadir selaku Tetamu Kehormat pada Majlis Penutup Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2026 ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah Urusan, Agensi Pelaburan Brunei selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, dan Pegawai-Pegawai Kanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta para Jemputan Khas.

Dalam majlis ini, para peserta telah mengongsikan pengalaman dan hasil dapatan daripada program yang telah disertai.

Atur cara Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Majlis diteruskan dengan penyampaian taklimat daripada wakil-wakil peserta yang telah pengikuti Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2026 dan penyampaian sijil kepada para peserta oleh Tetamu Kehormat majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.