Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1446/ 2025M
Pada 13 Syawal 1446 bersamaan 12 April 2025, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat bercemar duli ke majlis ini berserta Kerabat Diraja.
Majlis ini adalah merupakan kali ke-21 dianjurkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sejak majlis ini mula diadakan pada tahun 2003. Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza setiap tahun dalam memberikan kesempatan kepada mereka untuk bersua muka dan beramah mesra dengan raja yang sangat dikasihi dan menyembahkan junjung kasih Kehadapan Majlis Baginda dalam suasana yang lebih mesra dan meriah. Para peserta yang diketengahkan pada setiap tahun adalah terdiri daripada kumpulan masyarakat yang dikenalpasti dapat memberikan kepentingan dalam menjana kesejahteraan, kebajikan dan kepentingan kepada ugama, raja, bangsa dan negara.
Dengan limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, majlis tahun ini bertemakan “Perpaduan Masyarakat Dalam Mencapai Aspirasi Negara“. Tema ini mencerminkan komitmen Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk menyemarakkan semangat kerjasama, kesatuan, dan keharmonian dalam kalangan masyarakat iaitu dengan menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, bagi mewujudkan sinergi yang kuat ke arah mencapai kemajuan bersama, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Dalam mendukung tema tersebut, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengetengahkan beberapa kumpulan peserta yang memainkan peranan penting dalam mendekati dan memahami serta mendepani keperluan masyarakat secara lebih mendalam. Mereka merupakan saluran utama dalam merakit dan menyantuni, merapatkan hubungan, dan membimbing ahli-ahli masyarakat ke arah pembangunan yang lebih holistik.
Kumpulan pertama mewakili komuniti tempatan di peringkat akar umbi yang memahami keperluan dan aspirasi penduduk setempat ke arah mengukuhkan nilai kerohanian, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Mereka terdiri daripada ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Surau; ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung; dan Pengawas Kejiranan. Kumpulan peserta kedua pula terdiri daripada para pengusaha mikro, kecil dan sederhana serta syarikat korporasi tempatan yang melaksanakan program pembangunan ekonomi dan pembinaan kapasiti bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan ke arah membina masa depan masyarakat yang mampan dan berdaya tahan. Manakala kumpulan ketiga pula terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (Non-Governmental Organisation – NGO) dan beberapa syarikat swasta yang melaksanakan program rehabilitasi dan sosioekonomi bagi membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan golongan tertentu yang memerlukan bantuan.
Komitmen dan peranan kesemua kumpulan peserta tersebut dihasratkan dapat memberikan impak positif terhadap keharmonian dan kesejahteraan masyarakat yang bersatu padu, berdaya tahan, inklusif dan dinamik bagi mencapai aspirasi negara – Wawasan Brunei 2035.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Acara kemuncak majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Atur cara majlis diteruskan dengan tayangan video bertajuk “Perpaduan Masyarakat Dalam Mencapai Aspirasi Negara” yang memperlihatkan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam melaksanakan program-program kesukarelawanan, kemasyarakatan, dan pembangunan kapasiti dan sosioekonomi masyarakat ke arah membina masyarakat Brunei yang bersatupadu dan berjaya sejajar dengan pendekatan senegara yang mantap ‘Whole of Nation Approach’ bagi mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Majlis diserikan dengan persembahan pentas daripada para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu gabungan daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak, murid-murid Sekolah Rendah dan penuntut-penuntut Sekolah Menengah dengan pimpinan tenaga pengajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Bersesuaian dengan tema dan kategori peserta yang diketengahkan dalam sambutan pada tahun ini, sebanyak 20 buah agensi dari sektor kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan menyertai pameran dengan memperlihatkan inisiatif dan program masing-masing dalam menyokong perpaduan sosial dan pembangunan negara, seperti melalui program-program komuniti, perusahaan sosial, pendidikan, kaunseling, dan inovasi teknologi. Pameran ini menggambarkan kepentingan sinergi antara semua sektor dalam mengukuhkan semangat perpaduan bagi merealisasikan aspirasi negara, dengan memberi penghargaan kepada usaha kolektif yang mendorong pembangunan sosioekonomi dan mencapai kejayaan sebagai masyarakat yang bersepadu dan berdaya tahan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam seterusnya berkenan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir. Di samping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi, majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta para jemputan khas.