Seramai 87 orang pelajar terpilih menyertai Perkhemahan Motivasi Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Para pelajar tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 11 dan Darjah 6 sekolah ugama yang mengikuti projek kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PIP) dari lapan buah pusat kelas tuisyen Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di seluruh negara.

Perkhemahan Motivasi Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah diadakan selama tiga hari bermula 16 Mac 2021 di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Daerah Temburong. Majlis Penutup Perkhemahan Motivasi diadakan pada 4 Syaaban 1442 bersamaan 18 Mac 2021 dengan acara penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta dan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada fasilitator.

Acara penutup perkhemahan juga menyaksikan dua orang wakil peserta iaitu Awang Mohd Haikal bin Shamsul dan Dayang Syaqirah Nurul ‘Aini binti Amraan menyampaikan ucapan penghargaan dan diikuti oleh ucapan daripada wakil Penyelia Pusat Kelas Program Intervensi Pendidikan 2021 iaitu Awang Hamnorzekri bin Haji Abdul Hamit.

Perkhemahan Motivasi merupakan salah satu projek di bawah Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diadakan sempena cuti penggal persekolahan.  Tujuan perkhemahan adalah bagi menanam semangat yang positif dan membangun serta membentuk para pelajar untuk menjadi orang yang beriman, berdisiplin, berkeyakinan, bertanggungjawab dan berwibawa yang menjadi asas untuk membantu mereka meraih kejayaan dalam kehidupan. 

Projek Kelas Tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) adalah salah satu inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah khusus bagi membantu mempertingkatkan pencapaian pendidikan anak-anak dari keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan yang dikenalpasti sebagai memerlukan bimbingan rapi dalam bidang akademi sepaya mereka dapat meneruskan pengajian dengan sempurna hingga ke peringkat yang lebih tinggi.