Pada 28 Safar 1443 bersamaan 5 Oktober 2021, genaplah usia Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang ke-29 tahun.  Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan pada 7 Rabiulakhir 1413 bersamaan 5 Oktober 1992 sempena sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki Takhta yang merupakan wadah amal jariah atau derma khairat Baginda dan Ahli Kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

Bagi memohon keberkatan dan sebagai tanda kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menganjurkan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-29 Tahun secara maya iaitu melalui dalam talian dengan menggunakan aplikasi Zoom.

Aturcara majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Yaasin dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sallehuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid dan Alumni Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Aturcara diteruskan dengan bacaan Doa bagi memohon perlindungan kehadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala supaya terselamat daripada bala dan penyakit khususnya wabak COVID-19.

Hadir pada di majlis ini secara maya adalah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan selaku Timbalan Pengerusi II Jemaah Tadbir Yayasan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim dan Ahli-ahli Jawatankuasa Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis ini juga disertai oleh kira-kira 200 warga kerja Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Syarikat Wadah Amal Sdn Bhd serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Dalam hala tuju ke hadapan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengatur langkah dengan menyediakan Pelan Strategik 2020-2025 yang akan berperanan sama mengukuhkan kesepaduan bagi mencapai “Whole of Nation Approach” bagi meningkatkan jalinan kerjasama dengan pelbagai sektor Kerajaan dan swasta demi mencapai visi dan misi serta matlamat strategik dalam menjana “Masyarakat Mandiri” dan seterusnya menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035.