Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1440 Hijrah / 2019 Masihi diadakan pada hari Selasa, 10 Syaaban 1440H bersamaan 16 April 2019M, bertempat di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Pelancaran Majlis disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Aturcara Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie, Mahkamah Syariah. Majlis diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan berkenan mengurniakan sabda di Majlis ini.

Seterusnya Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan pengagihan buah-buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Pemerintah-Pemerintah Tentera serta Komandan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pengarah-Pengarah Formasi Pasukan Polis Diraja Brunei. Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik juga menyempurnakan pengagihan buah-buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung di seluruh negara.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie, Mahkamah Syariah.

Dengan sempurnanya Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada hari ini, maka bermulalah pembahagian buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1440 Hijrah / 2019 Masihi kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam.

Semua Penghulu-Penghulu Mukim (yang memangku jawatan Ketua-Ketua Kampung) dan Ketua-Ketua Kampung seterusnya akan mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi ini kepada anak-anak buah kampung di bawah jagaan mereka masing-masing. Begitu juga bagi Pemerintah-Pemerintah dan Komandan-Komandan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta Pengarah-Pengarah Formasi dan Pegawai-Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Diraja Brunei seterusnya akan mengagih-agihkan buah kurma peribadi ini kepada pegawai-pegawai dan kakitangan di bawah jabatan dan unit formasi masing-masing.

Pada tahun ini, sejumlah 126 ton metrik buah kurma jenis ‘Safawy’ akan dibahagikan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di seluruh negara. Setiap umat Islam yang menetap di negara ini tanpa mengira had umur dan taraf kerakyatan akan menerima kurnia buah kurma mereka di mana setiap seorang akan menerima satu kotak kecil kurma yang mengandungi 300 gram.

Bagi memastikan pembahagian buah kurma kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia dikendalikan dengan sempurna, Yayasan telah menyediakan tatacara pembahagian dan borang khas yang akan diedarkan melalui Ketua-Ketua Kampung di seluruh negara. Yayasan mengharapkan semua Ketua-Ketua Kampung dan mereka yang berkenaan yang telah dipertanggungjawabkan bagi mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ini akan mengikuti tatacara pembahagian yang telah ditetapkan dan menggunakan borang yang dikhaskan serta menggunakan kebijaksanaan mereka masing-masing supaya buah kurma kurnia peribadi ini akan diterima dengan baik dan sempurna dan seterusnya dinikmati oleh setiap orang yang beragama Islam di negara ini sebagai juadah berbuka puasa semasa bulan Ramadhan nanti.

Pengurniaan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei ini mencerminkan sikap pemedulian dan kasih Baginda. Adalah wajar bagi seluruh rakyat dan penduduk di negara ini khususnya mereka yang beragama Islam untuk menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kurnia Baginda ini.

Hadir di Majlis ini ialah Ahli-ahli Jemaah Tadbir serta Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pegawai-Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung serta Ketua-Ketua Rumah Panjang di seluruh negara, pegawai-pegawai kanan Kerajaan yang terlibat dalam pengendalian pengagihan buah-buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan wakil-wakil dari Jawatankuasa Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di seluruh negara.