Pada 24 Muharram 1441 bersamaan 24 September 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Penandatanganan Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian tahun 2019/2020 bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pada tahun ini iaitu bagi tahun pengajian 2019/2020, hanya seorang penuntut menerima anugerah biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Haji Hassanal Bolkiah bagi meninggikan tahap pengajian iaitu Awang Muhammad Aiman Syafiq bin Haji Ramlee. Awang Muhammad Aiman Syafiq akan meninggikan tahap pengajian ke peringkat Sarjana dalam kursus Msc Radiation Biology di University Oxford, United Kingdom.

Sebelum ini, Awang Muhammad Aiman Syafiq telah menerima Anugerah Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi meneruskan pengajian BEng Biomedical Engineering, University College London, United Kingdom. Majlis Penganugerahan Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah dianugerahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 22 Zuhlhijjah 1437 bersamaan 24 September 2016.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Mohd Amin bin Haji Salim, Pegawai Hal Ehwal Masjid. Atur cara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara majlis diteruskan dengan menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa bagi Awang Muhammad Aiman Syafiq yang ditemani bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat. Manakala bagi pihak Yayasan pula, penandatanganan dilakukan oleh Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama dengan Yang Mulia Awang Haji Puasa bin Haji Jumat, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis diikuti dengan penyampaian insentif daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada Awang Muhammad Aiman Syafiq yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian dengan mendapat Kepujian Kelas Pertama (First Class Honours) BEng Biomedical Engineering, University College London, United Kingdom. Insentif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Pengerusi Lembaga Pengarah, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis pada petang ini diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi Awang Muhammad Aiman Syafiq yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam pada akhir bulan September ini.

Turut hadir di majlis ini ialah sebahagian Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Adalah menjadi harapan dengan adanya biasiswa seumpama ini akan dapat melahirkan pemimpin yang cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara serta menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, raja dan negara.