Pada 22 Syawal 1440 bersamaan 27 Jun 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli ke majlis ini berserta Kerabat Diraja.

Majlis ini adalah merupakan kali ke-16 dianjurkan sejak ia telah mula diadakan pada tahun 2003. Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan ini mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza setiap tahun dalam memberikan kesempatan kepada mereka menyembahkan junjung kasih dalam suasana yang lebih mesra dan meriah. Mereka ini terdiri daripada kumpulan masyarakat yang dikenalpasti dapat memberikan kepentingan dalam menjana kesejahteraan, kebajikan dan kepentingan kepada negara dan penduduk.

Untuk majlis tahun ini, dengan limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan dengan tema Sambutan Sektor Pertanian: Survivabiliti Bangsa dan Negara, Yayasan mengetengahkan para petani, nelayan, peniaga, pengusaha dan individu yang terlibat dalam memajukan sektor pertanian (termasuk tanaman, agrimakanan, ternakan, perikanan dan perhutanan) sebagai peserta. Selain itu, para belia dan pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang pertanian serta beberapa agensi yang terlibat mendukung sektor pertanian juga turut diketengahkan sebagai peserta pada tahun ini.

Tujuan pemilihan peserta pada tahun ini adalah sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam merangsang pertumbuhan sektor pertanian ke arah menjana kemajuan ekomomi negara yang dinamik dan mampan seperti yang dihasratkan dalam Wawasan Brunei 2035.

Konsep Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini adalah untuk mempertemukan para pengeluar hasil pertanian yang terdiri dari para petani, nelayan dan pengusaha, dengan para peniaga (termasuk perusahaan, pasar-pasar raya, restoran, perhotelan dan perkhidmatan katering), pengeksport dan pengeluar yang dapat membantu memasarkan hasil pertanian tempatan melalui jalinan niaga (business networking) bagi memudahkan penawaran pasaran produk yang mereka hasilkan. Konsep ini memfokus terhadap pemasaran atau akses kepada pasaran bagi memudahkan penawaran pasaran produk pertanian tempatan.

Konsep ini adalah bertepatan bagi menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memajukan sektor pertanian ke arah sara diri dan pertumbuhan ekonomi negara serta ke arah pertumbuhan keluaran sektor pertanian yang lebih pesat dan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di samping dapat menjana peluang pekerjaan.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara kemuncak majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Majlis diserikan dengan persembahan pentas daripada para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (gabungan daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak, murid-murid Sekolah Rendah dan penuntut-penuntut Sekolah Menengah).

Saat yang ditunggu-tunggu oleh para peserta ialah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menerima junjung ziarah dan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir. Di samping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi, majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.

Bersesuaian dengan tema dan konsep sambutan pada tahun ini, pameran mengenai sektor pertanian yang berkonsepkan match-making di antara para pengusaha pertanian & agrimakanan dan agensi pemasaran produk pertanian & agrimakanan yang berjaya selaku peneraju dalam penghasilan dan pemasaran produk dengan para pengusaha pertanian dan agrimakanan tempatan. Sebanyak enam kategori diketengahkan dalam pameran ini. Kategori-kategori tersebut adalah kategori Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, kategori agensi, kategori pasar raya, kategori perkhidmatan sajian (catering), kategori contract farming dan eksport dan kategori Government-Linked Company. Keenam-enam kategori tersebut memainkan peranan masing-masing di dalam pemasaran pengusaha-pengusaha pertanian dan agrimakanan di negara ini. 

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta para jemputan khas.