Pada 12 Rabiulakhir 1446 bersamaan 16 Oktober 2024, diadakan Majlis Perasmian Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024 (Brunei Darussalam International Islamic Calligraphy Festival 2024 – BDIICF 2024), di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024 (BDIICF 2024).

Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024 adalah projek pertama yang julung kalinya dikendalikan secara berkolaborasi oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui PPKKI-YSHHB bersama dua buah institusi pengajian tempatan iaitu Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); dan Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan sebuah institusi luar negara iaitu Islamic Research Centre and Islamic Art, History and Culture (IRCICA), Republik Türkiye.

Dengan tema ‘Pemberdayaan Seni Kaligrafi Islam’ (Empowerment of Islamic Arts Calligraphy), Mahrajan atau festival ini bertujuan untuk mengembangkan penyebaran ilmu seni kaligrafi ke pelusuk serantau dan meningkatkan kesedaran umat Islam di negara-negara serantau dan antarabangsa terhadap kepentingan seni kaligrafi Islam dalam pelbagai aspek.  Mahrajan atau festival ini bersifat ilmiah yang dihasratkan bagi membuka ruang kepada pakar-pakar dan tenaga mahir tempatan dan luar negara berkumpul dan berkongsi pandangan dan memberikan tunjuk ajar yang setentunya dapat membantu dalam mengembangkan ilmu seni khat atau kaligrafi dan kesenian Islam kepada pencinta seni khat khasnya dan kepada orang awam amnya.

Atur cara Majlis Perasmian Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024 dimulakan dengan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie.  Acara majlis diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Majlis diteruskan dengan sembah ucapan oleh Tuan Yang Terutama Professor Mahmud Erol Kılıç, Director General, Research Centre for Islamic History, Art and Culture, Republik Türkiye.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan mengurniakan sabda dan merasmikan Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024.

Atur cara majlis diteruskan dengan tayang video pendek bertajuk ‘Pemberdayaan Seni Kaligrafi Islam’ (Empowerment of Islamic Arts Calligraphy).  Majlis diteruskan dengan sembah Ucaptama oleh Yang Mulia Dr. Abd Rahman bin Hamzah, Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia dan Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Malaysia dengan tajuk ‘Seni Khat Memartabatkan Bangsa, Pemangkin Generasi Rabbani’.

Atur cara majlis diteruskan dengan pengumuman dan penyampaian hadiah Pertandingan Seni Khat Peringkat Serantau Asia 2024 anjuran bersama Islamic Research Centre and Islamic Art, History and Culture (IRCICA), Republik Türkiye dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB).

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang dari empat kategori  yang telah dipertandingkan iaitu Khat Thuluth, Khat Nasakh, Khat Diwani dan Khat Diwani Jali.  Pemenang terdiri daripada:

Khat Thuluth

PertamaHafize Sunduvag Namazireihanloo, Tϋrkiye
KeduaRivi Pratama Putra, Indonesia
KetigaHuda Purnawadi, Indonesia

Khat Nasakh

PertamaMohammad Mustofa, Indonesia
KeduaNafang Permadi Mulyani Utama, Indonesia
KetigaAchmad Jalaludin, Indonesia

Khat Diwani

PertamaMohammad Abdul Ghoffar, Indonesia
KeduaHayatee Wado, Thailand
KetigaNailil Muna, Indonesia

Khat Diwani Jali

PertamaNafang Permadi Mulyani Utama, Indonesia
KeduaMohammad Abdul Ghoffar, Indonesia
KetigaIkhsanudin, Indonesia

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah seterusnya berkenan mengurniakan cenderahati kepada Tuan Yang Terutama Professor Mahmud Erol Kilic, Director General, Research Centre For Islamic History, Art And Culture, Republik Türkiye; Yang Mulia Dr. Abd Rahman bin Hamzah, Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia dan Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Malaysia; dan juri-juri pertandingan.

Atur cara Majlis Perasmian Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024 diakhiri dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Matassan bin Haji Tahir.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah seterusnya dijunjung menyaksikan pameran.  Pameran mempamerkan koleksi hasil karya kaligrafi daripada Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB); Islamic Research Centre and Islamic Art, History and Culture (IRCICA); Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).  Karya-karya kaligrafi daripada para pemenang Pertandingan Seni Khat Peringkat Serantau Asia 2024 anjuran bersama YSHHB dan IRCICA juga turut dipamerkan. Dua orang pakar kaligrafi Islam iaitu Mr Efdaluddin  Kilic dari Republik Türkiye dan Mr Belaid Hamidi dari Maghribi juga akan mempersembahkan tatacara atau demonstrasi penulisan kaligrafi.

Sebelum keberangkatan balik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama Ahli-ahli Jemaah Tadbir dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Majlis UNISSA; Ahli-Ahli Majlis KUPU SB; Pegawai-Pegawai daripada IRCICA, para juri dan pemenang Pertandingan Seni Khat Peringkat Serantau Asia 2024 serta para pembentang bengkel sepanjang Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024.

Pertandingan Seni Khat Peringkat Serantau Asia 2024

Pertandingan Seni Khat Peringkat Serantau ASIA adalah pertandingan bertaraf antarabangsa yang sering dianjurkan oleh Islamic Research Centre and Islamic Art, History and Culture (IRCICA), Republik Türkiye. Pada tahun ini, penganjuran pertandingan ini dilaksanakan secara berkerjasama dengan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) dan dinamakan dengan “Pertandingan Seni Khat Peringkat Serantau Asia 2024”.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Thuluth, Nasakh, Diwani dan Diwani Jali. Konsep pertandingan adalah karya siap dimana peserta diberikan tempoh lebih kurang lima bulan untuk menyiapkan iaitu bermula 1 Mac 2024 hingga 30 Ogos 2024. Karya-karya yang telah siap perlu dihantar ke Urus Setia Pertandingan di PPKKI-YSHHB untuk dihakimkan oleh empat orang hakim terdiri daripada pakar kaligrafi Islam dari Republik Türkiye, Morroco dan Negara Brunei Darussalam, iaitu: Mr. Efdaluddin Kilic, Pakar Kaligrafi, Republik Türkiye; Mr. Belaid Hamidi, Pakar Kaligrafi, Maghribi (Morocco); Mr. Seyyid Ahmet Depeler, Pakar Kaligrafi, Republik Türkiye; dan Awang Bolhanuddin bin Haji Abdul Wahab, Pegawai Pelajaran, Negara Brunei Darussalam.

Seramai 158 orang peserta dari 19 buah negara telah mendaftar untuk menyertai pertandingan ini. Namun hanya 100 orang dengan 123 penyertaan yang memenuhi syarat pertandingan diterima untuk dihakimi iaitu daripada 12 buah negara-negara ASIA antaranya Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Jepun, Bahrain, Saudi Arabia, Syria, Pakistan dan Türkiye termasuk Negara Brunei Darussalam. Seramai 12 pemenang iaitu tiga orang pemenang daripada setiap kategori akan menerima hadiah yang disampaikan di Majlis Perasmian Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024.

Program-Program Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024

Beberapa program menarik telah disediakan oleh keempat-empat penganjur bersama sepanjang Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 12 Rabiulakhir 1446 bersamaan 16 Oktober 2024 sehingga 14 Rabiulakhir 1446 bersamaan 18 Oktober 2024 di Pusat Persidangan Antarabangsa, antaranya:

  1. Pembentangan Kertas Kerja Utama (Ucaptama) daripada Yang Di-Pertua Seni Khat Kebangsaan Malaysia
  2. Pembentangan Kertas Kerja dan Bengkel-Bengkel Kaligrafi Islam daripada pakar-pakar penulis seni khat tempatan dan antarabangsa
  3. Pameran Kaligrafi Islam Antarabangsa
  4. Persembahan tatacara atau demonstrasi penulisan kaligrafi secara live daripada pakar-pakar kaligrafi Islam dari Republik Türkiye, Maghribi dan Negara Brunei Darussalam
  5. Pertandingan Seni Khat Secara Spontan Anjuran PPKKI-YSHHB

Orang ramai dan para peminat dan pencinta seni kaligrafi dialu-alukan menyertai Mahrajan (Festival) ini. 

Pendaftaran masih dibukakan.  Untuk maklumat lanjut, sila layari laman instagram ppkki.yshhb atau talian hotline 7121510.