Majlis Penutup Perkhemahan Motivasi Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2026
Seramai 60 orang pelajar terpilih menyertai Perkhemahan Motivasi di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Para peserta terdiri daripada pelajar Tahun 11 dan Darjah 6 sekolah ugama yang mengikuti Projek Kelas Tuisyen PIP di lapan buah pusat kelas tuisyen PIP di seluruh negara.
Perkhemahan Motivasi tersebut diadakan selama tiga hari bermula 10 Ogos 2026 bertempat di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok. Majlis Penutup Perkhemahan Motivasi diadakan pada 28 Safar 1448 bersamaan 12 Ogos 2026, dan diselajurkan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Abdullah @Dollah bin Haji Ahad, Penolong Pengarah Urusan (Perkhidmatan Korporat), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis penutup turut diisikan dengan ucapan daripada Ketua Komandan Perkhemahan iaitu Dayang Norajeerah binti Usop, serta ucapan daripada wakil peserta iaitu Dayang Nurul Bazillah Humairah binti Afendy.
Perkhemahan Motivasi merupakan salah satu projek di bawah Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang dilaksanakan sempena cuti penggal persekolahan. Perkhemahan ini bertujuan untuk memupuk semangat positif serta membangun dan membentuk jati diri para pelajar agar menjadi individu yang beriman, berdisiplin, berkeyakinan, bertanggungjawab dan berwibawa. Nilai-nilai tersebut diharap dapat menjadi asas dalam membantu para pelajar mencapai kejayaan dalam pendidikan dan kehidupan.
Projek Kelas Tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) merupakan salah satu inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah khusus dalam membantu meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan yang dikenal pasti memerlukan bimbingan secara lebih intensif dalam bidang akademik. Melalui projek ini, para pelajar diberikan sokongan dan bimbingan bagi membantu mereka meningkatkan pencapaian akademik serta meneruskan pengajian dengan lebih baik hingga ke peringkat yang lebih tinggi.