Majlis Pelancaran Penempatan Bantuan Peralatan Pesakit kepada Golongan yang Memerlukan
Pada 3 Muharram 1446 bersamaan 9 Julai 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Pelancaran Projek Penempatan Bantuan Peralatan Pesakit kepada Golongan yang Memerlukan melalui Perkhidmatan Kebajikan Perubatan, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir sebagai tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan dan selaku Pengerusi Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC); dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial (PKPS) melaksanakan Projek Penempatan Bantuan Peralatan Pesakit Kepada Golongan Yang Memerlukan ini dengan tujuan untuk memastikan pengurusan amal jariah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah serta Ahli Kerabat Diraja Baginda akan dapat dilaksanakan dengan lebih terarah, efektif dan efisien dan dengan hasrat ia akan dapat memberikan ganjaran pahala yang berpanjangan dan berterusan kepada Baginda dan Ahli Kerabat Diraja Baginda selama mana bantuan peralatan pesakit yang disediakan digunapakai serta memberi manafaat kepada pesakit-pesakit yang memerlukannya di samping untuk mengukuhkan lagi jalinan kerjasama yang sedia ada antara Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) dan untuk melaksanakan pendekatan secara ‘Whole Of Nation’ dalam mengelinga kebajikan dan kesejahteraan para pesakit yang memerlukan bantuan khususnya dari kalangan Pesakit atau Keluarga Pesakit yang tidak / kurang berkemampuan.
Aturcara majlis dimulakan dengan Majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan Perkhidmatan Kebajikan Perubatan, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) dan diselajurkan dengan pelancaran Penyerahan Penempatan Bantuan Peralatan Pesakit Kepada Golongan Yang Memerlukan kepada kedua agensi berkenaan.
Majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MOU) bagi pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditandatangani oleh Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abd Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah manakala menandatangani bagi pihak Perkhidmatan Kebajikan Perubatan, Kementerian Kesihatan adalah Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan (MOH) dan bagi pihak Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) pula adalah Yang Mulia Dr. Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar, Pengarah Eksekutif Pusat Pakar Pantai Jerudong.
Penyerahan Penempatan Bantuan Peralatan Pesakit Kepada Golongan Yang Memerlukan disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Ke II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah manakala menerima bagi pihak Kementerian Kesihatan dan Pusat Pakar Pantai Jerudong adalah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan dan selaku Pengerusi Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC). Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menyerahkan kepada Yang Mulia Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital RIPAS bagi pihak Kementerian Kesihatan (MOH) dan Yang Mulia Dr. Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar bagi pihak Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC).
Projek Penempatan Bantuan Peralatan Pesakit Kepada Golongan Yang Memerlukan ini adalah merupakan projek bantuan jangka masa panjang Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) dimana melaluinya nanti sebahagian bantuan peralatan perubatan Yayasan akan diberikan secara pinjaman sahaja dan sebahagian lagi iaitu khususnya bagi peralatan pesakit yang tidak dapat digunakan secara berkongsi akan akan diberikan secara one-off.
Penempatan Bantuan Peralatan Pesakit Kepada Golongan Yang Memerlukan ini nanti akan berpusat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Pusat Pakar Pantai Jerudong dan merangkumi untuk pesakit di seluruh negara. Pengurusan Bantuan Peralatan Pesakit ini nanti akan dilaksanakan melalui Perkhidmatan Kebajikan Perubatan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Pusat Pakar Pantai Jerudong manakala Yayasan pula akan berperanan sebagai pihak yang akan menyediakan peralatan pesakit yang diperlukan.
Turut hadir di majlis ini ialah para jemputan khas, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Kesihatan dan Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC).