Antara tujuan penubuhan Yayasan dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat ialah memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi iaitu tempat tinggal yang sempurna kepada golongan yang memerlukan bantuan melalui projek pembinaan rumah-rumah bantuan.

Pada 21 Jamadilawal 1441 bersamaan 17 Januari 2020, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Memulakan Tiang Rumah-Rumah Bantuan bagi Pembinaan 21 Buah Rumah Bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan Majlis Memulakan Tiang Rumah-Rumah Bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara Memulakan Tiang Rumah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bermula di tapak tanah bagi salah seorang penerima bantuan perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Yang Mulia Dayang Siti Asmah binti Abdul Kadir di Kampong Katimahar, Jalan Lugu.

Dengan Majlis Memulakan Tiang Rumah-Rumah Bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menandakan bermulanya projek pembinaan sebanyak 21 buah rumah bantuan dengan konsep dan rekabentuk baharu di Daerah Brunei Muara dan Daerah Tutong. Konsep dan rekabentuk baharu bagi pembinaan rumah bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah lebih moden dan setara dengan teknologi semasa dalam keperluan pembangunan rumah kos rendah dan dapat disiapkan sepenuhnya dalam jangkamasa pendek.

Pembinaan rumah bantuan ini dikontrakkan kepada Syarikat Noracon Sdn Bhd dan pembinaan kesemua 21 buah rumah (11 buah rumah di Daerah Brunei dan Muara dan 10 buah rumah di Daerah Tutong) dijangka siap pada bulan April 2020. Rumah bantuan ini juga dihasratkan bagi memberikan rumah yang selesa dan sempurna untuk kesemua penerima serta keluarga terutama sekali menjelangnya hari raya nanti, di samping memberikan mereka peluang untuk memperbaiki taraf hidup keluarga dalam semua aspek kehidupan.

Rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan dan keadaan tempat tinggal mereka daif dan tidak selamat untuk didiami.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Hj Abd Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir di majlis ini Ahli-Ahli Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan yang berkenaan serta Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.