Pada hari Selasa, 13 Ramadan 1447 bersamaan 3 Mac 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Bulan Ramadan 1447H di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Berangkat ke majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan takhtim Al-Quran dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Rithaudin bin Haji Sabtu, Pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Bagi majlis ini, seramai 30 orang pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengkhatamkan bacaan Al-Quran masing-masing. 

Majlis diteruskan dengan Doa Khatam dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Murat. Majlis selanjutnya diteruskan lagi dengan majlis berbuka puasa dan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah.

Juga hadir di majlis ini ialah Ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; para jemputan, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.