Pada 5 Oktober 2020, genaplah usia Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang ke-28 tahun.  Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan pada 7 Rabiulakhir 1413 bersamaan 5 Oktober 1992 sempena sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki Takhta yang merupakan wadah amal jariah atau derma khairat Baginda dan Ahli Kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

Bagi meraikan sambutan tersebut Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menganjurkan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-28 Tahun bertempat di Tingkat 4, Dewan Serbaguna Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Chairman of the Committee of Governors of Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah) berkenan berangkat ke Majlis tersebut.

Aturcara majlis dimulakan dengan Sembahyang Zuhur berjemaah dan diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat. Majlis diteruskan dengan Bacaan Surah Yaasin dan Doa Kesyukuran yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie, Mahkamah Syariah.

Sebelum meneruskan Majlis seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli Jemaah Tadbir dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik juga berkenan menerima pesambah daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu perhiasan kristal dengan mempunyai kalimah “Syahadah” yang ditulis oleh penulis khat Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan set cawan yang mempunyai seni reka bentuk Islam, kedua-dua pesambah adalah merupakan produk daripada Kedai Semaun, Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Aturcara Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-28 Tahun diteruskan dengan Majlis Penyempurnaan Pengurniaan Anak-anak Kunci Rumah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Penyampaian Sumbangan-Sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga Penyampaian Sijil-Sijil Penghargaan kepada para sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang telah menyumbangkan khidmat bakti menjayakan program Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sepanjang tahun 2020 yang diadakan di RUANG, Tingkat 2, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis di Ruang dimulakan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Chairman of the Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Board of Directors). 

Majlis diteruskan dengan tayangan video “Sabda Khas Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah” dan video “Pencapaian Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sepanjang 28 Tahun dan Hala Tuju Ke hadapan”.

Seterusnya Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan menyempurnakan Pengurniaan Anak-anak Kunci Rumah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada 22 buah keluarga yang kurang berkemampuan.  Daripada jumlah tersebut, 21 buah rumah bantuan dibina di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan sebuah lagi dibina di bawah Projek Bersepadu Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.  Para penerima tersebut adalah:

Daerah Brunei dan Muara

  1. Dayang Hajah Amai binti Haji Samsu
  2. Awang Mohammad Daud bin Hj Amat
  3. Awang Jamain bin Haji Mohd Zain
  4. Dayang Siti Hafsah binti Abdullah @Serose Coghil
  5. Dayang Siti Asmah binti Abdul Kadir
  6. Awang Zainal bin Abdullah / Dayang Majanah binti Apong
  7. Pengiran Suraya binti Pengiran Haji Othman (Allahyarham Awang Haji Tuah bin Haji Ahmad)
  8. Awang Sopian bin Abang
  9. Awang Mohamad bin Mat Yassin
  10. Dayang Sa’eyah binti Maidin
  11. Dayang Raiani binti Hj Talip

Daerah Tutong

  1. Dayang Na’imah binti Abdullah @Remidah Binti Naik
  2. Dayang Nur Rahmuna binti Abdullah Awang @ Dang Guna binti Awang
  3. Minggo bin Bubong
  4. Awang Sambari bin Masri
  5. Awang Muhammad Diri bin Abdullah @Diri bin Panggau
  6. Dayang Siti Saraini Abdullah @Siwal binti Kotus
  7. Dayang Zaulina binti Aning
  8. Dayang Rasiah binti Moksin
  9. Awang Asat bin Bidin
  10. Awang Muhammad Syamsul bin Muhammad Sinyur
  11. Dayang Laki binti Untong (Allahyarham Awang Tahir bin Salleh) [Projek Bersepadu Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan]

Rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan dan keadaan tempat tinggal mereka daif dan tidak selamat untuk didiami. Projek pembinaan rumah bantuan adalah menepati hala tuju strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat dengan memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang memerlukan yang seterusnya dihasratkan bagi memberikan mereka peluang untuk memperbaiki taraf hidup keluarga dalam semua aspek kehidupan.  Konsep dan reka bentuk baharu bagi pembinaan 22 buah rumah bantuan ini adalah lebih moden dan setara dengan teknologi semasa dalam keperluan pembangunan rumah kos rendah yang juga dapat disiapkan sepenuhnya dalam jangkamasa pendek.

Di Majlis ini, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada dua buah badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan golongan orang kelainan upaya (OKU) iaitu Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Persatuan SMARTER Brunei.  Sumbangan ini adalah merupakan inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam memberikan pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU yang sewajarnya diberikan bimbingan, didikan dan kemahiran supaya mereka menjadi individu yang berjaya dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.

  1. Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam

Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam menerima sumbangan kewangan sebanyak BND50,000.  Sumbangan tersebut adalah merupakan sumbangan tahunan Yayasan (bagi tahun 2021) iaitu untuk memberi sokongan kepada Pusat ini dalam mengendalikan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum.

Sumbangan Yayasan diterima oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd. Alimin bin Haji Abdul Wahab, Pemegang Amanah Kanan (Senior Trustee) Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

  1. Persatuan SMARTER Brunei (Persatuan bagi sekumpulan ibu-bapa yang mempunyai anak yang memiliki autisma)

Persatuan SMARTER Brunei menerima sumbangan kewangan berjumlah BND50,000. Sumbangan tersebut adalah merupakan sumbangan tahunan Yayasan (bagi tahun 2021). Daripada jumlah sumbangan tersebut,  sebanyak 50% disumbangan kepada Persatuan SMARTER Brunei untuk mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus bagi anak-anak autistik.  Manakala sebanyak 50% lagi adalah untuk pembayaran yuran pendidikan yang dikenakan oleh SMARTER Brunei bagi mengajar anak-anak autisme daripada keluarga yang berpendapatan rendah.

Sumbangan Yayasan ini diterima oleh Yang Mulia Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, Pemangku Yang Di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei. 

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah seterusnya berkenan mengurniakan sijil penghargaan kepada wakil sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Yang Mulia Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah yang mewakili 450 orang sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan projek-projek amal Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sepanjang tahun 2020.  Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sangat menghargai sumbangan masa dan tenaga serta buah fikiran para  sukarelawan dalam menyumbangkan khidmat bakti mereka melaksanakan projek-projek amal Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah secara berterusan.  

Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik juga berkenan bergambar ramai bersama penerima-penerima rumah bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Dalam hala tuju ke hadapan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengatur langkah dengan menyediakan Pelan Strategik 2020-2025 yang akan berperanan sama mengukuhkan kesepaduan bagi mencapai “Whole of Nation Approach” bagi mengelakkan pembaziran, pertindihan serta duplikasi di samping meningkatkan jalinan kerjasama dengan pelbagai sektor Kerajaan dan swasta demi mencapai visi dan misi serta matlamat strategik dalam menjana “Masyarakat Mandiri” dan seterusnya menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035.