Majlis Doa Kesyukuran Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-36 Tahun
Pada 27 Syawal 1440 Hijrah bersamaan 1 Julai 2019 Masihi, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Yang Ke-36 Tahun.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke Majlis ini. Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md Yussof, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Aturcara majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah dan diikuti dengan bacaan Surah Yaasin dan bertahlil beramai-ramai. Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran Sempena Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-36 Tahun dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie, Mahkamah Syariah. Majlis diteruskan dengan Sembahyang Fardu Isyak berjemaah.
Sempena Majlis Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik Ke-36 Tahun, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan memotong kek Puja Usia dan menerima pesambah daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berupa karya tulisan khat yang dihasilkan oleh Yang Mulia Awang Hamdy bin Emran daripada Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah diputerakan pada 19 Ramadan 1403 Hijrah bersamaan 30 Jun 1983 Masihi. Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik telah dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 18 Jamadilakhir 1434 bersamaan 1 Mac 2013. Menerajui pucuk pimpinan tertinggi di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik sangat prihatin terhadap pengurusan dan perkembangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Duli Yang Teramat Mulia juga sering berkenan untuk meninjau dan melibatkan diri dalam apa jua projek dan aktiviti yang diusahakan dan dianjurkan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir di Majlis ini ialah Ahli-Ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; Ahli-Ahli Jawatankuasa Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.