Majlis Doa Kesyukuran Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-37 Tahun
Pada 8 Zulkaedah 1441 Hijrah bersamaan 30 Jun 2020 Masihi, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-37 Tahun.
Aturcara majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Zuhur berjemaah dan Sembahyang Hajat dan diikuti dengan bacaan Surah Yaasin beramai-ramai. Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran Sempena Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-37 Tahun.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah telah dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 18 Jamadilakhir 1434 bersamaan 1 Mac 2013. Menerajui pucuk pimpinan tertinggi di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik sangat prihatin terhadap pengurusan dan perkembangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Duli Yang Teramat Mulia juga sering berkenan untuk meninjau dan melibatkan diri dalam apa jua projek dan aktiviti yang diusahakan dan dianjurkan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Dengan mengambil kira situasi semasa berkaitan jangkitan wabak Covid-19 dan bagi memastikan keselamatan semua pihak, majlis dihadiri oleh Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan sebahagian Pegawai-Pegawai Kanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sahaja dengan jumlah yang terhad. Antara yang hadir ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md Yussof, Menteri Pertahanan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.