Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-33 Tahun
Pada 14 Rabiulakhir 1447 bersamaan 6 Oktober 2025, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-33 Tahun di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Murad. Ini diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Kesyukuran sempena 33 tahun penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena sambutan Jubli Perak menaiki Takhta. Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Ahli Kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Sepanjang lebih tiga dekad perjalanannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menyentuh kehidupan ribuan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam melalui pelbagai program, projek dan inisiatif yang selaras dengan tujuan penubuhannya, memberi impak nyata dalam bidang pendidikan, sosial, kesihatan serta pembangunan ekonomi dan keusahawanan.
Setiap usaha yang dilaksanakan tidak hanya memenuhi keperluan semasa, tetapi juga menjadi pemangkin kepada kemajuan jangka panjang, seiring dengan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.
Dalam apa jua perancangan dan pelaksanaan program, projek dan aktivitinya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sentiasa mendukung penuh agenda pembangunan negara sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Penyampaian Sumbangan Kewangan Kepada Dua Buah NGOs
Semasa majlis ini juga, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiahberkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiahkepada dua buah badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan golongan orang kelainan upaya (OKU) sebanyak BND100,000.00.
Sumbangan ini adalah merupakan keprihatinan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU yang sewajarnya diberikan bimbingan, didikan dan kemahiran supaya mereka menjadi individu yang berjaya dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Dua buah badan bukan kerajaan tersebut ialah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Persatuan SMARTER Brunei.
Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam menerima sumbangan kewangan sebanyak BND50,000.00. Sumbangan ini adalah merupakan sumbangan tahunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (bagi tahun 2025) iaitu untuk memberi sokongan kepada Pusat ini dalam mengendalikan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum. Sumbangan Yayasan diterima oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab, Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Persatuan SMARTER Brunei menerima sumbangan kewangan berjumlah BND50,000.00. Sumbangan tersebut adalah merupakan sumbangan tahunan Yayasan (bagi tahun 2025). Daripada jumlah sumbangan tersebut, sebanyak 50% disumbangkan kepada Persatuan SMARTER Brunei untuk mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus bagi anak-anak autistik. Manakala sebanyak 50% lagi adalah untuk pembayaran yuran pendidikan yang dikenakan oleh SMARTER Brunei bagi mengajar anak-anak autisme daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Sumbangan Yayasan ini diterima oleh Yang Mulia Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, Yang Di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei.
Juga hadir di majlis ini ialah Ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; para jemputan khas; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.