Acara Penutup Program Perkembangan Sultan’s Scholars Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2024
Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” bertujuan untuk melahirkan pemimpin yang cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara serta menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan Ugama, Raja dan Negara. Bagi melengkapkan para graduan “Sultan’s Scholar” dengan pengetahuan dan pengalaman supaya mereka sentiasa siap siaga memikul tanggungjawab dan menempuhi cabaran negara dan global secara positif, berdaya tahan dan berdaya maju, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga mengendalikan Program Perkembangan Sultan’s Scholars atau Sultan’s Scholars Development Programme (SSDP).
Program perkembangan ini mula dijalankan pada tahun 2015 dan dijadualkan sewaktu cuti musim panas di luar negara (antara bulan Julai dan Ogos). Perisian Program Perkembangan dirancang dengan rapi bagi memperluaskan pengalaman, pengetahuan dan kepekaan graduan “Sultan’s Scholar” terhadap keperluan negara khususnya mengenai perkembangan, isu dan cabaran yang dihadapi ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Program Perkembangan ini melibatkan para penerima Anugerah Biasiswa Sultan’s Scholar yang sedang menuntut dan para alumni yang sedang berkhidmat baik di sektor kerajaan mahupun swasta. Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2024 ini disertai oleh seramai 12 orang peserta yang terdiri daripada tujuh orang penuntut dan lima orang alumni.
PROGRAM PERKEMBANGAN SULTAN’S SCHOLARS 2024 (7 OGOS 2024 – 17 OGOS 2024)
Pada tahun ini, Program Perkembangan Sultan’s Scholar mengandungi dua komponen, iaitu Fasa Negara Brunei Darussalam dan Fasa Republik Singapura.
- Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2024 Fasa Negara Brunei Darussalam
Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2024 Fasa Negara Brunei Darussalam telah dijalankan bermula pada hari Rabu, 7 Ogos 2024 hingga hari Jumaat, 9 Ogos 2024. Program ini melibatkan sesi taklimat dan penerangan oleh agensi-agensi Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memberikan kefahaman kepada para peserta mengenai tugas dan peranan agensi-agensi berkenaan serta isu dan cabaran yang berkaitan.
Bagi aktiviti sampingan, para peserta juga membuat lawatan kerja ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan bersama Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA) Brunei Darussalam.
- Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2024 Fasa Republik Singapura
Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2024 Fasa Republik Singapura pula telah dilaksanakan dengan kerjasama daripada Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Negara Brunei Darussalam dan Civil Service College, Republik Singapura. Program telah berjalan selama lima hari bermula hari Isnin, 12 Ogos 2024 hingga hari Jumaat, 16 Ogos 2024.
Program di Republik Singapura bertujuan bagi memberikan peluang dan pendedahan kepada para peserta untuk mengetahui pendekatan Republik Singapura terhadap tiga elemen utama iaitu pembuatan dasar (policy making), kepimpinan dan komunikasi (leadership and communication) dan pembangunan mampan (sustainable development). Pelaksanaan program adalah melalui dialog, kursus, bengkel, lawatan dan aktiviti kemasyarkatan.
Semasa di Republik Singapura, para peserta telah berpeluang menghadiri networking lunch bersama pengurusan kanan Kementerian Luar Negeri, Republik Singapura yang turut dihadiri oleh Deputy Secretary (South East Asia dan ASEAN), Puan Foo Chi Hsia, bersama para pegawai (pengambilan baharu) Kementerian Luar Negeri, Republik Singapura dan para Public Service Commission Scholars, Republik Singapura.
Majlis penutup program di Republik Singapura telah diadakan pada hari Khamis, 15 Ogos 2024 dengan penyampaian sijil penyertaan yang disampaikan oleh Tuan Roger Tan, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif (Antarabangsa), Civil Service College, Republik Singapura (Assistant CEO (International)).
Ppara peserta juga melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan di The Singapore Cheshire Home, Singapura. Aktiviti ini memberikan peluang kepada para peserta untuk mengenali peranan dan tanggungjawab Rumah Kebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan dalam bersama-sama memeduli golongan yang kurang bernasib baik di Republik Singapura.
MAJLIS PENUTUP PROGRAM PERKEMBANGAN SULTAN’S SCHOLARS 2024
Majlis Penutup Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2024 telah diadakan pada 12 Safar 1446 bersamaan 17 Ogos 2024 di Mutiara Ballroom, Radisson Hotel, Bandar Seri Begawan. Hadir selaku Tetamu Kehormat pada Majlis Penutup Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2024 ialah Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, Peguam Negara selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir ialah Tuan Shaun Shaun Philip Grosse, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dan Kuasausaha Sementara Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam (Deputy High Commissioner/ Chargé d’Affaires); Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Pegawai-Pegawai Kanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta para Jemputan Khas.
Dalam majlis ini, para peserta telah mengongsikan pengalaman dan hasil dapatan daripada program yang telah disertai.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Majlis diteruskan dengan penyampaian taklimat daripada wakil-wakil peserta yang telah pengikuti Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2024 dan penyampaian sijil kepada para peserta oleh Tetamu Kehormat majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.