Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menerima Anugerah The 7th ASEAN Inclusive Business 2024
Anugerah ASEAN Inclusive Business (Perniagaan Inklusif ASEAN) telah mula diperkenalkan di Peringkat ASEAN sejak tahun 2017 untuk penekanan yang lebih besar dalam mewujudkan persekitaran yang membolehkan Perniagaan Inklusif (Inclusive Business). Jawatankuasa ASEAN Micro, Small and Medium Enterprises (ACCMSME) telah menerajui dalam mempromosikan Perniagaan Inklusif (Inclusive Business) di ASEAN pada tahun 2018 iaitu dengan menyediakan pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal, modal perniagaan menggalakkan pembangunan pengusaha-pengusaha kecil menyatupadukan ke dalam rantaian nilai serantau dan global.
ASEAN Inclusive Business (Perniagaan Inklusif ASEAN) adalah bagi menyerlahkan tatacara yang dipraktikkan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah untuk berdikari dan mandiri melalui perniagaan dan perusahaan kecil.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menerima jemputan daripada Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB) dalam kapasiti mereka sebagai focal point dan wakil utama bagi Negara Brunei Darussalam kepada Jawatankuasa Penyelaras ASEAN Micro, Small and Medium Enterprises (ACCMSME) untuk mengemukakan permohonan Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN (ASEAN IB) ke-7 Tahun 2024.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah diiktiraf dan terpilih bagi pihak Negara Brunei Darussalam untuk menjadi penerima Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN (ASEAN IB) ke-7 Tahun 2024 dengan mengambil kira Bantuan-Bantuan dan Sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui Program Sara Diri. Program tersebut telah membantu golongan keluarga yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah untuk memulakan perniagaan dengan diberikan latihan kemahiran dan bantuan modal yang dipantau sehingga mereka berjaya dan mandiri seterusnya membantu keluarga lain yang baharu berkecimpung dalam bidang perniagaan. Rantaian bantuan yang berterusan dalam program tersebut adalah menepati kriteria penilaian Anugerah Perniagaan Inklusif (ASEAN IB) dan telah menarik minat Jawatankuasa Penyelaras ACCMSME.
Menerima anugerah tersebut bagi pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Menyampaikan Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN (ASEAN IB) Ke-7 Tahun 2024 bagi pihak sekretariat ASEAN kepada kesemua penerima tersebut ialah Tuan Yang Terutama Sonexay Sithphaxay, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao. Majlis telah diadakan pada 19 Rabiulawal 1446 bersamaan 23 September 2024 di Grand Ballroom, Lao Plaza Hotel, Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao.
Forum dua hari berkenaan juga dihadiri oleh dua orang pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Dayang Sufinah binti Haji Sulaiman, Pemangku Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial) dan Awang Mohammad Ali Rahman bin Awang Besir, Pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Program Sara Diri) yang akan mengongsikan Tatacara Perlaksanaan Program Sara Diri melalui Projek Bantuan Keusahawanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang telah mula diperkenalkan sejak tahun 2015 bersama wakil-wakil dari negara ASEAN yang lain.