Taklimat Keselamatan dan Kebakaran Bagi Penduduk Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kampung Bolkiah ‘A’ dan Kampung Bolkiah ‘B’
Seiring dengan pendekatan senegara yang mantap ‘Whole of Nation Approach’, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus menjalin kerjasama kukuh dengan beberpa agensi kerajaan dalam memeduli kebajikan dan kesejahteraan masyarakat di negara ini.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan iaitu Kementerian Kesihatan; Jabatan Daerah Brunei dan Muara; Jabatan Bomba dan Penyelamat; dan Jabatan Pembangunan Masyarakat telah membuat beberapa langkah proaktif dan strategik untuk mengelakkan kebakaran dan mencegah kemalangan dan kehilangan nyawa apabila berlaku insiden kebakaran rumah.
Salah satu langkah yang dilaksanakan adalah dengan mengaktifkan sukarelawan yang terdiri daripada penduduk kampung Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampung Bolkiah ‘A’ dan Kampung Bolkiah ‘B’ untuk dilantik sebagai Sukarelawan Bomba.
Pada bulan Jun dan Julai lalu, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menganjurkan dua sesi kursus ‘Life Saver 995’ yang disertai oleh seramai 49 orang penduduk kampung dan mereka ini dengan sendirinya dilantik sebagai Sukarelawan Bomba bagi Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampung Bolkiah ‘A’ dan Kampung Bolkiah ‘B’.
Untuk meningkatkan kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan kebakaran dan bagi mendidik penduduk kampung tentang bahaya kebakaran, langkah pencegahan dan tindak balas yang wajar bagi menangani insiden kebakaran, beberapa latihan ‘Fire Drill’ juga akan diadakan secara berkala di samping penganjuran taklimat, bengkel dan sesi latihan termasuk penggunaan alat pemadam api, prosedur pemindahan mangsa khususnya bagi pesakit terlantar dan mereka yang kurang upaya dan kepentingan pemasangan alat pengesan asap (smoke detector).
Acara pada 17 Safar 1446 bersamaan 22 Ogos 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Taklimat Keselamatan dan Kebakaran khusus bagi penduduk Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kampung Bolkiah ‘A’ dan Kampung Bolkiah ‘B’ bertempat di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah ‘A’.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan penyerahan jaket keselamatan dan sijil kepada 29 orang penduduk kampung yang telah berjaya menyempurnakan kursus ‘Life Saver 995’. Penyampaian jaket keselamatan disempurnakan oleh tetamu kehormat, Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan selakuPemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; manakala sijil penyertaan disampaikan oleh Yang Mulia Awang Shahrin bin Haji Mohd Jawie, Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Acara kemudian diteruskan dengan taklimat yang disampaikan oleh Yang Mulia Penguasa Bomba Mohammad Sophian bin Haji Yusuff, Timbalan Pegawai Pemerintah, Cawangan Operasi ‘D’, Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Dalam acara yang sama, tetamu kehormat turut diberi peluang untuk melancarkan pemasangan papan tanda (signage) di kediaman pesakit yang terlantar di No. 77E Kampung Bolkiah ‘A’. Papan tanda tersebut akan dipasang di semua rumah-rumah yang dihuni oleh orang kurang upaya atau pesakit terlantar (bedridden). Inisiatif pemasangan papan tanda diambil oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah bagi memaklumkan kepada orang ramai bahawa terdapat orang kurang upaya atau pesakit terlantar di dalam rumah tersebut, bagi memastikan tindakan wajar dapat diambil oleh mereka yang berdekatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan, khususnya kebakaran.
Acara diakhiri dengan demonstrasi memadam kebakaran (fire drill) termasuk demonstrasi menyelamat penghuni rumah yang terperangkap khususnya bagi pemilik rumah yang didiami oleh warga emas, orang kurang upaya dan pesakit yang terlantar.