Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sempena Bulan Ramadan 1447H/2026M
Pada 21 Ramadan 1447 bersamaan 11 Mac 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menyampaikan sumbangan kewangan yang keseluruhannya berjumlah B$154,900.00, beserta sumbangan berupa makanan asasi, kuih raya, dan minuman ringan kepada 150 keluarga yang terdiri daripada warga emas serta golongan yang memerlukan di seluruh negara. Sumbangan ini disalurkan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sempena bulan Ramadan 1447H/2026M.
Melalui Program Ihsan ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga menyumbangkan peralatan keperluan pesakit, khususnya bagi warga emas, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyantuni golongan yang memerlukan. Pada masa yang sama, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga memberikan sumbangan peralatan kepada beberapa individu yang dikenalpasti bagi menyokong usaha mereka dalam menjana pendapatan keluarga.
Penyampaian sumbangan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah dikendalikan di beberapa buah kampung di keempat-empat daerah, yang masing-masing diketuai oleh:
Daerah Brunei dan Muara
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Daerah Temburong
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Daerah Belait
Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, Peguam Negara selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Daerah Tutong
Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sumbangan menerusi Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini diharapkan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan sepanjang bulan Ramadan. Dengan adanya bantuan ini, para penerima diharapkan dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna serta merasai kegembiraan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Sejajar dengan matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam memperkukuhkan pemedulian terhadap kebajikan golongan yang memerlukan, Program Ihsan ini dilaksanakan pada setiap bulan Ramadan dengan menyasarkan warga emas serta keluarga yang memerlukan bantuan di seluruh negara. Para penerima dikenal pasti melalui kerjasama dengan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jabatan-Jabatan Daerah di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal (JUZWAB), Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Program yang mula dilaksanakan sejak tahun 2019 ini telah membantu seramai 1,195 keluarga di seluruh negara.
Penyampaian Sumbangan kepada Mangsa Kebakaran
Sempena Program Ihsan ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada lima buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di beberapa buah kampung di Daerah Brunei dan Muara, serta Daerah Belait. Majlis penyampaian sumbangan kewangan yang keseluruhannya berjumlah B$9,800.00 telah diadakan di tapak rumah mangsa kebakaran.
Mereka yang terlibat ialah:
- Awang Chibrauwi @Muhamad Asy-Syarqawi bin Mohamad Said, RPN Tanah Jambu
- Awang Ladis bin Haji Jaffar, RPN Meragang
- Awang Alfiezam bin Haji Abu Bakar, Lorong 3 Selatan, Seria
- Dayang Suryati binti Ayat, Lorong 3 Selatan, Seria
- Dayang Nurfatin Syafiqah binti Md Fauziee, Lorong 3 Selatan, Seria
Selaras dengan hasrat murni penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik, termasuk mereka yang terjejas akibat musibah seperti kebakaran rumah. Sumbangan yang disampaikan ini merupakan bantuan segera yang dihasratkan dapat meringankan beban mangsa serta membantu mereka meneruskan kehidupan seharian.