Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sempena Bulan Ramadan 1445H/2024M
Pada 26 Ramadan 1445 bersamaan 6 April 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak BND138,800.00 di samping sumbangan berbentuk makanan asasi serta kuih muih dan minuman ringan kepada sebanyak 150 buah keluarga yang terdiri daripada warga emas dan golongan yang memerlukan bantuan di seluruh negara melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sempena bulan Ramadan 1445H bersamaan 2024M. Program ini juga sejajar dengan matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mengimbangi pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang memerlukan.
Penyampaian sumbangan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dikendalikan di beberapa buah kampong di keempat-empat daerah.
Bagi Daerah Brunei dan Muara diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Bagi Daerah Belait diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Bagi Daerah Tutong pula diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Bagi Daerah Temburong, rombongan diketuai oleh Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, Menteri Pendidikan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Sumbangan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini adalah dihasratkan akan dapat membantu meringankan keperluan perbelanjaan dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna dan akan memberikan keceriaan kepada mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.