Pada 13 Safar 1448 bersamaan 28 Julai 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah B$113,150.00. Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

1.  Sumbangan Sempena Maulidur Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam

Seiring dengan pendekatan senegara yang mantap Whole of Nation Approach, Yayasan turut bekerjasama dengan beberapa agensi berkepentingan bagi mempertingkatkan syiar Islam di negara ini. Melalui program memakmurkan masjid, Yayasan pada petang ini menyampaikan sumbangan kepada beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan sumbangan keseluruhannya berjumlah B$85,300.00 kepada beberapa masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1448H / 2026M. 

Sebanyak 83 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan tersebut, iaitu 37 buah di Daerah Brunei dan Muara; 9 buah di Daerah Belait; 24 buah di Daerah Tutong dan 13 buah di Daerah Temburong.  Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.

Sumbangan kepada masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara, dan Daerah Belait disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; manakala masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Tutong dan Temburong disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

2.  Sumbangan Mangsa Kebakaran dan Bencana Alam

Selaras dengan dasar penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus melaksanakan aktiviti kebajikan khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah B$27,850.00 kepada enam buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan sebuah keluarga yang terlibat dalam kejadian angin kencang  di beberapa buah kampung di seluruh negara. Sumbangan ini dihasratkan dapat meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan seharian.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Timbalan Menteri Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.