Penyampaian Sumbangan Kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Selaras dengan hasrat murni penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik, termasuk mereka yang terjejas akibat musibah seperti kebakaran rumah. Sumbangan yang disampaikan ini merupakan bantuan segera yang dihasratkan dapat meringankan beban mangsa serta membantu mereka meneruskan kehidupan seharian.
Pada 30 Jamadilawal 1447 bersamaan 21 November 2025, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND121,700.00 kepada sejumlah 38 buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampong Pandai Besi dan Kampong Sungai Panga. Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Penyampaian sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah disempurnakan oleh Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Pada majlis yang sama, Jabatan Urus Zakat, Wakaf dan Baitulmal (JUZWAB), Kementerian Hal Ehwal Ugama turut menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND27,800.00 kepada 34 buah keluarga yang terlibat. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei.
Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei; Pemangku Penolong Pengarah JUZWAB; Penolong-Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; pegawai serta kakitangan kerajaan dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.