Penyampaian Sumbangan Kewangan
Selaras dengan hasrat murni penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik, termasuk mereka yang terjejas akibat musibah seperti kebakaran rumah dan bencana alam. Sumbangan yang disampaikan ini merupakan bantuan segera yang dihasratkan dapat meringankan beban mangsa serta membantu mereka meneruskan kehidupan seharian.
Pada 2 Jamadilawal 1447 bersamaan 24 Oktober 2025, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND13,750.00 kepada sejumlah lima buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran dan bencana alam. Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Ibu Pejabat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Perdana Menteri.
Penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah Urusan, pegawai serta kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.