Penyampaian Sumbangan Kewangan
Pada 8 Zulkaedah 1446 bersamaan 6 Mei 2025, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND119,065.40 kepada sejumlah tujuh buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran dan bencana alam; empat buah keluarga menerima bantuan membaik pulih rumah; dan Persatuan Saudara-Saudara Baru Tutong (PESATU). Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sumbangan-sumbangan yang disampaikan adalah seperti berikut:
1. Sumbangan Mangsa Kebakaran dan Bencana Alam
Selaras dengan dasar penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus melaksanakan aktiviti kebajikan khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah BND26,000.00 kepada tujuh buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan bencana alam di beberapa buah kampung di seluruh negara.
Sumbangan ini merupakan bantuan segera dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.
2. Bantuan Membaik pulih Rumah
Antara tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat adalah memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan termasuk tempat tinggal yang sempurna dan selamat.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah semasa majlis ini juga menyampaikan bantuan bagi tujuan membaik pulih rumah empat buah keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan keseluruhannya berjumlah BND88,871.40.
3. Sumbangan kepada PESATU
Dalam usaha menyokong pertubuhan atau badan bukan kerajaan untuk meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan bantuan tajaan dalam bentuk alat penghawa dingin keseluruhannya berjumlah BND4,194.00 kepada Persatuan Saudara-Saudara Baru Tutong (PESATU).
Sumbangan diterima oleh Dayang Hajah Rohaidah Anizah binti Muhd Kamsani, Setiausaha Agong PESATU.
Kesemua sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir di majlis ini ialah Penolong Pengarah Urusan serta pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.