Bertunjangkan dasar utama Yayasan bagi memeduli kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya golongan yang kurang berkemampuan, Yayasan pada 17 Rabiulakhir 1442 bersamaan 3 Disember 2020 menyampaikan sumbangan bantuan peralatan dan keperluan persekolahan kepada seramai 2,158 orang pelajar (1,404 orang pelajar Sekolah Rendah dan 754 orang pelajar Sekolah Menengah) di kalangan keluarga yang kurang berkemampuan di seluruh negara iaitu bagi sesi persekolahan tahun 2021.

Sumbangan adalah dalam bentuk kupon pembelian peralatan dan keperluan persekolahan. Setiap seorang pelajar menerima kupon yang bernilai BND 250.

Penyampaian sumbangan ini adalah bertepatan dengan matlamat strategik Yayasan dalam mendokong pencapaian pendidikan yang berkualiti dan saksama bagi semua lapisan masyarakat.  Sumbangan tersebut dihasratkan bagi memeduli kebajikan dan hal-ehwal pendidikan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan bagi meningkatkan motivasi mereka untuk meraih kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Di samping itu, sumbangan tersebut dihasratkan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka khususnya bagi persediaan penggal awal persekolahan tahun 2021.

Sumbangan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada para ibu-bapa dan penjaga pelajar-pelajar berkenaan.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan Selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Mulia Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan; Yang Mulia Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut, Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia Dan Sukan; dan Yang Mulia Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Akop, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama.