Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Penggunaan Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 25 Jamadilawal 1446 bersamaan 16 November 2025 mengadakan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun sempena memperingati penggunaan bangunan masjid berkenaan yang telah menjadi mercu tanda keagamaan dan tempat tumpuan ibadat masyarakat setempat sejak penubuhannya.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat majlis, diikuti bacaan Tahlil Arwah oleh Awang Mohammad bin Rosdin, Bilal Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan seterusnya bacaan Doa Tahlil Arwah dan Doa Kesyukuran Majlis yang dipimpin oleh Awang ‘Abdul Rauf bin Haji Ismail Imam Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Imam Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Haji Jalaluddin Jamil bin Mohd Kushairi Azam selaku Pengerusi Majlis, dan seterusnya diserikan dengan beberapa persembahan termasuk puisi daripada wakil Belia Imtiyaz dan tausyeh daripada Muslimah Masjid yang menambah semarak suasana sambutan.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa, cenderahati turut disampaikan kepada 13 orang mantan Imam dan Bilal yang pernah berkhidmat di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sejak mula digunakan. Seterusnya, Doa Peliharakan Sultan dibacakan bagi menzahirkan rasa syukur dan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta keluarga dirahmati dan dilanjutkan usia dalam kemuliaan dan kesejahteraan.
Sebagai satu inisiatif yang bertujuan memperkasa penyertaan belia dalam pengimarahan masjid dan aktiviti kemasyarakatan, Tetamu Kehormat turut merasmikan Revolusi Belia Imtiyaz serta mengadakan lawatan ke Pameran Masjid dan Pameran Belia Imtiyaz.
Sambutan ini bukan sahaja memperingati perjalanan 25 tahun Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebagai pusat ibadat dan pengimarahan syiar Islam, tetapi juga mengiktiraf sumbangan para pegawai masjid dan komuniti, serta memperkukuhkan peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah.
Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah merupakan wakaf peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memberikan kemudahan tempat beribadat bagi penduduk rancangan perumahan Yayasan Kampong Bolkiah ‘A’ dan Kampong Bolkiah ‘B’ serta penduduk sekitarnya. Masjid ini yang telah siap dibina dan mula digunakan pada hari Jumaat, 28 Rejab 1421 bersamaan 27 Oktober 2000. Sejak itu, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus memberikan sokongan berterusan dalam memperkasa serta mengembangkan pelbagai kegiatan takmir masjid berkenaan.