Pada 12 Syawal 1445 bersamaan 22 April 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat bercemar duli ke majlis ini berserta Kerabat Diraja.

Majlis ini adalah merupakan kali ke-20 dianjurkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sejak majlis ini mula diadakan pada tahun 2003.  Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza setiap tahun dalam memberikan kesempatan kepada mereka untuk bersua muka dan beramah mesra dengan raja yang sangat dikasihi dan menyembahkan junjung kasih Kehadapan Majlis Baginda dalam suasana yang lebih mesra dan meriah.  Para peserta yang diketengahkan pada setiap tahun adalah terdiri daripada kumpulan masyarakat yang dikenalpasti dapat memberikan kepentingan dalam menjana kesejahteraan, kebajikan dan kepentingan kepada ugama, raja, bangsa dan negara.  

Dengan limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, majlis tahun ini bertemakan “MEMBUDAYAKAN BELIA PEMEDULIAN DAN PRIHATIN”. Tema ini bertujuan untuk memupuk membudayakan dan memperkasakan sikap kesukarelawanan dan kemasyarakatan di kalangan para belia. 

Salah satu golongan belia yang diketengahkan sebagai peserta pada majlis tahun ini untuk mendokong tema tersebut adalah terdiri daripada para penuntut daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan yang aktif dalam melaksanakan aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan dalam apa jua bidang seperti kebajikan, keugamaan, keusahawanan, teknologi, alam sekitar, dan lain-lain.  Seramai 750 orang pelajar daripada 12 buah institusi pengajian tinggi tempatan dan sebahagian lagi terdiri daripada sukarelawan belia dijemput hadir selaku peserta di majlis pada pagi ini.

Para penuntut adalah merupakan golongan berpendidikan yang merupakan aset bernilai negara yang bakal menerajui kepimpinan masa hadapan bagi memacu kemajuan pembangunan ugama, bangsa dan negara. Tema ini menitikberatkan keperluan untuk memupuk dan membudayakan sikap kesukarelawanan dan kemasyarakatan di kalangan para penuntut ke arah melahirkan modal insan yang holistik dan seimbang dari segala aspek hidup yang merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.  Keterlibatan para penuntut dalam program kesukarelawanan dan kemasyarakatan juga mampu memperkasa kecerdasan rohani dan emosi mereka agar mempunyai semangat jati diri dan berdisiplin yang tinggi serta mempunyai nilai-nilai murni dan akhlak mulia sebagai anak Brunei yang bertanggungjawab dan tidak ‘camah mata’ dalam sama-sama membantu menangani isu-isu pembangunan sosial selari dengan pendekatan senegara yang mantap ‘Whole of Nation Approach’. Mereka ini diharapkan akan memberikan contoh terbaik dan inspirasi kepada masyarakat umum.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.  Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara kemuncak majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Aturcara majlis diteruskan dengan tayangan video bertajuk “MEMBANGUN GENERASI PEMIMPIN: MEMBUDAYAKAN BELIA PEMEDULIAN DAN PRIHATIN” yang antara lain memaparkan penglibatan aktif para pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan dalam sama-sama membantu menangani isu-isu pembangunan sosial selari dengan pendekatan senegara yang mantap ‘Whole of Nation Approach’ bagi mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Video tersebut memuatkan segmen khas iaitu kurnia sabda-sabda Paduka-Paduka Anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. Sabda-sabda Paduka-Paduka Anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia membawa mesej inspirasi kepada para golongan belia untuk mengambil peranan dan tampil bersedia untuk menyumbang khidmat masa, idea dan tenaga mahu pun material dalam apa jua program kesukarelawanan dan kemasyarakatan.

Penglibatan aktif paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam program-program kesukarelawanan dan kemasyarakatan dapat memberikan inspirasi dan contoh tauladan terbaik kepada golongan muda belia di negara ini.

Majlis diserikan dengan persembahan pentas daripada para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu gabungan daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak, murid-murid Sekolah Rendah dan penuntut-penuntut Sekolah Menengah dengan pimpinan tenaga pengajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bersesuaian dengan tema dan kategori peserta yang diketengahkan dalam sambutan pada tahun ini, pameran disertai oleh sebanyak 12 buah institusi pengajian tinggi tempatan yang mempamerkan program kesukarelawanan dan kemasyarakatan yang dikendalikan oleh para pelajar di institusi masing-masing. Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga turut sama mempamerkan program kesukarelawan yang melibatkan penyertaan para belia tempatan selaras dengan salah satu tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu bagi mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam seterusnya berkenan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir.  Di samping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi,  majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.  Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta para jemputan khas.